Had PM dua penggal boleh tingkat sokongan kepada PH?
Mungkin tidak banyak benda baik yang boleh dilakukan di tengah-tengah kelemahan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH)
Namun penganalisis politik berpendapat, cadangan menghadkan tempoh jawatan perdana menteri hanya dua penggal dijangka akan meningkatkan sedikit sokongan pengundi bandar dan sub bandar kepada pakatan berkenaan
Penganalisis politik Liew Wui Chern berkata, langkah itu yang merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH, boleh membantu mengembalikan kepercayaan terhadap pakatan pemerintah.
“Banyak yang telah dilakukan PH untuk memikat pengundi namun ini (mengehadkan tempoh jawatan PM) sedikit sebanyak boleh menambah kepercayaan rakyat,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Ia juga akan mengurangkan pembentukan pecahan dalam kerajaan yang setia kepada individu tertentu.
“Sekiranya tempoh penggal perdana menteri dihadkan dua tahun, ia sukar untuk ahli politik membentuk puak kerana ia mengambil masa yang lama untuk menubuhkanya,” katanya.
Malah peluang untuk penjawat awam yang berpihak kepada personaliti tertentu juga dapat dikurangkan.
“Sekiranya seseorang pemimpin memegang jawatan terlalu lama, pemikiran ini akan berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight, dan menambah ia sama seperti Dr Mahathir Mohamad pada pentadbirannya sebelum ini.
Pensyarah Dr Chin Chong Foh berkata, langkah itu mampu mengekang penyelewengan dan salah guna kuasa.
Tempoh jawatan tanpa had dan tanpa semak dan imbang akan menyebabkan pemimpin memiliki kuasa terlalu besar untuk menyembunyikan penyelewengan dan salah laku, kata pensyarah dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) itu.
“Prinsip demokrasi ialah pemimpin boleh diubah,” katanya dan menambah rakyat tidak mahu pemimpin yang korup.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong baru-baru ini membentangkan rang undang-undang perlembagaan persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.
Bacaan kedua dan perbahasan atas rang undang-undang berkenaan akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat tahun depan.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bertujuan memasukkan peruntukan tambahan bahawa calon perdana menteri hendaklah seseorang “yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen”.
Pindaan ini adalah salah satu janji Pakatan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Penganalisis bagaimanapun membangkitkan kebimbangan mengenai pindaan ini berhubung bagaimana ia akan dilakukan.
Liew berkata, perubahan pimpinan secara mengejut akan mengganggu pembangunan negara kerana beberapa pelan dan strategi nasional seperti ekonomi dan pendidikan merangkumi lebih dari satu dekad.
“Sekiranya kita mengubah pemimpin setiap 10 tahun, pelaksanaan dasar mungkin terkesan kerana setiap pemimpin mempunyai ideanya sendiri,” katanya.
Chen bagaimanapun berkata, sekiranya perdana menteri tidak menjalankan tugas dengan baik, penggantinya mungkin dapat memperbaikinya.
Tambahnya, sekiranya seseorang pemimpin memegang jawatan terlalu lama, mereka mungkin tidak dapat mengikut trend dan cabaran terkini.
Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan lebih lanjut berhubung bagaimana had tempoh penggal ini dibuat.
“Secara teorinya, pilihan raya boleh diadakan setiap tahun selagi perdana menteri menganggap ia perlu dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Tiada peruntukan spesifik yang mengatakan pilihan raya perlu diadakan setiap lima tahun,” jelasnya.
“Justeru, sekiranya pilihan raya diadakan dua kali dalam tempoh lima tahun, adakah ini bermakna perdana menteri hanya boleh berkhidmat selama lima tahun?” soalnya.
Menurutnya, ia tidak munasabah untuk menetapkan had kepada sepuluh tahun melainkan kerajaan meminda undang-undang untuk menjadikan ia wajib mengadakan pilihan raya selepas lima tahun.