APA TUJUAN PEMBIDA DIJEMPUT KE JEMPUTAN GOLF KDN.



Satu tender bernilai berbilion ringgit di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang ditutup pada Ogos kini hangat diperkatakan di kalangan pemain industri, malah ia dikatakan tender sistem teknologi yang terbesar dalam sejarah negara yang pernah ditawarkan.
Tender Sistem Bersepadu Imigresen (IIS) bernilai lebih sebilion itu merupakan tender yang ditawarkan selepas KDN membatalkan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion yang diberikan kepada Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB).
Semua mata pemain industri teknologi maklumat sememangnya tertumpu ke arah tender IIS ini.
Menurut sumber dalaman, pihak KDN ketika ini dalam proses penilaian Request for Proposal (RFP) bagi tender dihantar oleh syarikat-syarikat yang masuk tender dan ia masih belum dimuktamadkan lagi.
Terdapat khabar angin mengatakan selepas selesai penilaian RFP, pihak KDN mungkin akan membuka Tender Terpilih yang mana beberapa syarikat yang layak atau melepasi syarat teknikal dan kewangan sahaja akan dipanggil untuk menyertai tender tersebut.
Khabar angin di pasaran terutamanya di kalangan pemain industri juga kecoh bercakap mengenai kemungkinan wujudnya amalam kronisme dalam penganugerahan tender ini.
Ini berikutan beberapa individu yang dikaitkan rapat dengan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri difahamkan turut berminat merebut tender ini.
Bagaimanapun, seorang sumber mendedahkan Menteri Dalam Negeri sendiri akan memantau tender IIS ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Sumber mendedahkan, baru-baru ini pada 20 Oktober 2019 para kontraktor yang menyertai tender IIS telah dijemput ke Pertandingan Golf Hari Pendaftaran Negara di The Mines Resort and Golf Club di Seri Kembangan, Selangor.
Para kontraktor itu dikatakan menerima jemputan daripada KDN, malah mereka dapat peluang bermain golf bersama dengan pegawai kanan KDN, antaranya Ketua Setiausaha KDN, Alwi Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.
Yang menjadi persoalan, mengapa pertandingan golf Jabatan Pendaftaran Negara perlu menjemput pembida-pembina bagi tender IIS di bawah Jabatan Imigresen pada ketika proses penilaian RFP belum lagi selesai?
Beranikah pihak KDN mengeluarkan senarai jemputan dalam pertandingan golf tersebut kepada umum bagi menafikan jemputan yang dibuat kepada kontraktor-kontraktor IIS itu?
Dari segi moralnya, adakah kerajaan Pakatan Harapan membenarkan atau menghalalkan amalan menjemput pelobi-pelobi ini bergaul secara langsung dengan pegawai kanan di Kementerian di mana mereka adalah pihak yang akan membuat keputusan berkaitan tender IIS?
Jika amalan ini berterusan, apakah bezanya antara kerajaan PH sekarang dengan kerajaan BN dahulu yang mana pegawai-pegawai kementerian dilihat bebas duduk semeja dan bergaul bersama kontraktor? (ShahbudinHusin 21/10/2019)