Guna kaukus Parlimen atasi isu kemiskinan
Kaukus Parlimen diketuai Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan badan paling aktif membincangkan isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
Ketika dapatan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kadar kemiskinan di Malaysia menjadi perhatian ramai baru-baru ini, ia sebenarnya telah pun dibawa ke perbincangan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen untuk diteliti.
“Kita sudah bawa 2 minggu lalu kepada Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus. Kita akan maklumkan ulasan kajian ini kepada seluruh ahli Parlimen,” katanya sewaktu mengadakan lawatan ke Pusat Pameran Mines siang tadi.
Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4% pada 2016 tidak realistik kerana menggunakan penanda aras yang rendah rendah.
Philip berkata, kadar kemiskinan sebenar Malaysia sebenarnya adalah kira-kira 15%.
Anwar sebelum ini berkata, hasil laporan itu tidak mengejutkan. Ia hanya memberi peringatan bagaimana pemain perniagaan yang berjaya gagal memain peranan koporat membantu negara menangani isu yang membelenggu rakyat itu.
Malah tambahnya, hasil laporan itu juga memberi isyarat supaya kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar ekonomi yang gagal supaya dapat diperbetulkan.
“Saya mendesak supaya kerajaan terutamanya Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menteri ekonomi (Azmin Ali) mengenal pasti dasar-dasar gagal.
“Polisi kita sendiri seperti DEB (Dasar Ekonomi Baru) telah membuktikan salah. Selepas 40 tahun, DEP tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan meskipun di kalangan kaum Melayu kerana ia seakan-akan tidak berubah seperti 1971,” tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Pada Disember tahun lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan penubuhan enam Jawatankuasa Pilihan Khas, pertukaran beberapa anggota jawatankuasa pilihan serta penubuhan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.
Penubuhan semua jawatankuasa itu adalah bagi membincangkan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat serta dianggotai Ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang. – RF8 Media