BANTAHAN PENGGABUNGAN UMT-UNISZA AKAN DIBAWA SEHINGGA KEPADA PM




Cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) oleh Kementerian Pendidikan dijangka akan terus mendapat bantahan.
Antara yang akan dilakukan ialah menghantar surat bantahan kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad agar membatalkan rancangan tersebut.
Difahamkan, ada pihak-pihak tertentu yang terkait secara langsung dengan UMT dan UNISZA akan mengemukakan surat bantahan tersebut.
Selain ditujukan kepada Perdana Menteri, salinan surat bantahan itu juga akan diberikan kepada beberapa pihak lain yang ada kaitan kedua-dua pusat pengajian itu.
Antara alasan yang difahamkan akan dikemukakan berhubung bantahan itu ialah dengan penggabungan kedua-duanya akan mengurangkan peluang pelajar Melayu untuk melaniutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Tambahan lagi, memang menjadi kecenderungan bagi pelajar di Pantai Timur yang suka mencari pusat pengajian tinggi yang dekat dengan rumah keluarga mereka.
Dengan penggabungan yang akan menjadikan tempat belajar semakin berkurang, ditambah keengganan sebahagian pelajar berjauhan dengan keluarga, ia secara tidak langsung akan menyebabkan ramai yang akan terlepas peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, faktor perbezaan fokus pengajian juga dijadikan sandaran bantahan di mana UMT banyak mengkhusus kepada sains samudera, manakala UNISZA yang bidang pengajiannya bercampur-campur dilihat tidak praktikal jika kedua-duanya digabungkan.
Lebih dibimbangi jika penggabungan akan menyebabkan fokus pengajian yang menjadi teras UMT menjadi terpinggir akhirnya.
Sistem kedua-dua universiti juga adalah berbeza dan jika digabungkan, sistem mana yang akan menjadi pilihan?
Alasan penggabungan untuk memudahkan pengurusan dan menjimatkan kos juga dianggap terlalu minima untuk dijadikan hujah berbanding sumbangan serta peranan jika UMT dan UNISZA terus bergerak secara berasingan.
Yang dibimbangi, penggabungan hanya akan menyebabkan pembuangan ramai pekerja bawahan yang tergolong dalam kategori B40 dan ini akhirnya memperlihatkan keputusan kerajaan itu bukan untuk menolong rakyat, sebaliknya akan menjadikan mereka sebagai penganggur.
Dalam waktu yang sama, oleh kerana UNISZA mempunyai sejarah yang panjang dan unik dengan sebelumnya berasal dari Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, menggabungkannya dengan UMT akan menjadikan sejarahnya terpadam dengan sendirinya.
Ia juga pasti akan dijadikan isu politik oleh pembangkang dengan perbahasan hangat di DUN Terengganu serta Parlimen yang sudahnya seperti memberi bola tanggung kepada mereka untuk menghentam kerajaan yang semakin merudum sokongan rakyat ketika ini.
Penggabungan ini juga mendapat bantahan dan rasa kecewa daripada Majlis Perwakilan Pelajar UMT kerana mereka tidak dilibatkan langsung dalam perbincangan mengenainya.
“Kami agak hairan apabila sebab keputusan penggabungan ini ialah salah satunya dikatakan atas alasan penjimatan kos yang tinggi,” kata Exco MPP UMT, Mohammad Zulhafizuddin Zulkifli dan Mohamad Zulkarnain Mohd Dali.
“Adakah benar penggabungan UMT dan UNISZA merupakan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menjimatkan kos yang dapat dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan?” tanya mereka. (Shahbudindotcom 08/09/2019)