Kajian tidak bercerita ‘arus senyap’ akar umbi – Salahuddin Ayub
Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata mana-mana kajian yang dibuat hanya ibarat lampu suluh yang dapat menerangi sekiranya tiada panduan dalam membuat pilihan.
“Kajian ini untuk beri panduan sahaja, apa yang penting orang politik harus melihat dengan teliti gerakan arus di bawah, khususnya apa yang paling ditakuti adalah arus senyap.
“Arus senyap ini biasanya nampak macam tiada apa-apa, tetapi sudah banyak kali berlaku di mana tiba-tiba ada perubahan besar, ini yang kita harus lebih teliti,” katanya.
Beliau menjawab soalan media arus perdana Harian Metro semalam mengenai kajian dan maklumat yang diperoleh di Johor oleh Politweet menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak lebih mendapat sokongan berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.
AMANAH katanya, berpandangan walaupun terdapat maklumat atau kajian dari Politweet yang menyebelahi kepimpinan kerajaan namun ujar beliau, ia perkara biasa.”
“Ini kerana apa yang saya lihat kajian masa kini, jika ia menunjukkan Dr Mahathir mendahului, peratusnya kecil, begitu juga kalau Najib mendahului angkanya juga kecil,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian firma penyelidik media sosial, Politweet yang menyatakan pengguna media sosial di Johor lebih tertarik kepada Najib berbanding Dr Mahathir.
Kajian itu sekali gus menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan terus menguasai Johor pada PRU-14.
Jurucakap Politweet dilaporkan berkata pengguna media sosial di Johor lebih tertarik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding calon perdana menteri PH Tun Dr Mahathir Mohamad.