Kemajuan Malaysia untuk ‘warga asing kaya’
Bekas konsultan Martin Long suka Pulau Pinang. Rumahnya di Tanjung Bungah lebih besar berbanding apa yang dia ada di Australia.
Dia membayar harga lebih murah untuk pendidikan swasta dan penjagaan kesihatan di Pulau Pinang tetapi merasakan perkhidmatan yang diperoleh hampir setaraf dengan di Australia.
Sejak pindah ke Malaysia, dia dapat bercuti dengan lebih kerap ke negara-negara Asia Tenggara dan sering membawa keluarganya makan di luar, berbanding ketika mereka di tanah air sendiri.
Long, 51, salah seorang daripada ribuan ekspatriat dalam satu kaji selidik baru-baru ini yang berkata mereka lebih gembira selepas pindah ke Malaysia. Sebab utama ialah kemudahan mendapatkan tempat tinggal, persekolahan dan penjagaan kesihatan.
Tetapi, sementara 44% ekspatriat berkata mereka lebih gembira di Malaysia, bagi kebanyakan rakyat Malaysia kelas pertengahan dan bekerja berkata mereka terhimpit dengan kos sara hidup yang lebih tinggi.
Tujuh daripada lapan keluarga yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak mampu mempunyai rumah lebih baik dan sering risau tentang harga makanan yang melonjak tinggi.
Hanya satu keluarga berkata mereka mampu untuk bercuti ke luar negara. Tiga lagi berkata mereka hanya bercuti di dalam negara sementara yang lain berkata mereka tidak mampu menyediakan peruntukan untuk hiburan.
“Saya balik kampung ke Pulau Pinang setahun sekali untuk melawat saudara-mara. Ia perjalanan dua dalam satu,” kata Fong, 53, seorang pengurus jualan ketika ditemui di Klang.
“Kerana itu balik kampung dan percutian untuk anak-anak saya,” katanya ketika ditemui membeli-belah baju sempena Tahun Baru Cina bersama isterinya.
“Tahun ini saya belanjakan RM50 bagi membeli kemeja T untuk lima orang. Saya tunggu sehingga ada potongan jualan murah,” katanya sambil menunjukkan kemeja warna merah pada harga RM10 sehelai.
“Jadi semua orang akan dapat baju yang sama. Apa lagi yang boleh saya buat? Saya tidak mampu berbelanja berlebihan tahun ini,” katanya.
Kaji selidik itu, diterbitkan di Human Resources Online mendapati 44% ekspatriat di Malaysia lebih gembira selepas berpindah ke sini.
Kaji selidik oleh HSBC itu menunjukkan Malaysia naik ke tempat ke-25 daripada 28, dalam rankingnya sebagai “tempat terbaik di dunia untuk hidup dan bekerja”.
Lebih separuh daripada ekspatriat di Malaysia berkata mereka tinggal di rumah yang lebih baik (55%) dan mendapati mudah untuk mendapatkan tempat tinggal (61%).
Kebanyakannya juga mendapati mudah untuk mendapatkan penjagaan kesihatan (54%) dan menyediakan persekolahan untuk anak mereka atau penjagaan kanak-kanak (52%).
Kira-kira 46% ibu bapa dalam kaji selidik itu berkata lebih murah membesarkan anak mereka di Malaysia berbanding di tanah air masing-masing.
Selepas berpindah ke Malaysia, kebanyakan ekspatriat dalam kaji selidik itu berkata mereka mampu bercuti lebih kerap, sementara 45% lagi berkata mereka lebih aktif secara fizikal.
Kaji selidik itu berkata pendapatan ekspatriat naik 25% apabila menetak di luar negara. Ekspatriat di Malaysia mendapat purata pendapatan AS$98,072 setahun sementara purata global ialah AS$99,903 setahun.
Kaji selidik itu menemu bual 27,500 ekspatriat di seluruh negara.
Tetapi kaji selidik mendapati rakyat Malaysia terpaksa bergelut untuk mengatasi waktu sukar ketika tangga gaji tidak berubah dan tidak dapat mengatasi inflasi.
Kajian Bank Negara Malaysia juga mendapati rumah di Malaysia “sangat tidak mampu dimiliki” dan terdapat kekurangan rumah mampu milik.
Keluarga berpendapatan sederhana dan rendah yang ditemu bual The Malaysian Insight berekata mereka terpaksa berdepan keadaan menunggu lama di hospital kerajaan dan pasaran perumahan yang langsung tidak mampu dicapai.
Suhardi Yaakob berkata dia dan isterinya memilih hospital kerajaan di mana harga penjagaan kesihatan ialah RM1 bagi setiap kali rawatan.
“Memang waktu menunggu lama tetapi kita perlu sabar. Kerana ia murah. Kita cuma perlu pergi awal,” kata bapa dua anak dengan pendapatan antara RM2,200 hingga RM2,300 sebulan sebagai juru kimpal.
Kedua-dua keluarga berpendapatan rendah itu berkata mereka memilih hospital kerajaan dan poliklinik sebagai pilihan pertama jika ada yang jatuh sakit.
“Tetapi kalau kecemasan tengah-tengah malam, kami terpaksa ke klinik swasta,” kata pemandu lori, Ahmadi Sasong, 38, yang mempunyai tiga anak dan tinggal di Petaling Jaya.
Daripada lapan keluarga itu, dua daripada kategori B40 iaitu rakyat Malaysia berpendapatan kurang RM3,860 sebulan. Empat lagi kategori M40 dengan pendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan.
Dua keluarga memperoleh kira-kira RM8,319 meletakkan mereka dalam kategori T20.
Selepas berpindah dari Kedah, Mohd Shazani Shuib dan isterinya mahu membeli rumah di Bukit Tinggi, Klang tetapi tidak dapat mencari yang di bawah harga RM500,000.
“Kami datang ke sini untuk bekerja dan ingatkan mahu beli rumah memandangkan ia lebih baik berbanding menyewa,” kata pengurus pemasaran berusia 36 tahun itu yang memperoleh pendapatan isi rumah RM7,000 sebulan apabila digabungkan dengan gaji isteri.
Penduduk Pulau Pinang, Azhar Nizam Jamaluddin, 39, juga mahu membeli rumah lebih baik untuknya dan isteri tetapi pasangan itu tidak mampu.
“Gaji kami tidak cukup untuk rumah yang nilainya beberapa ratus ribu,” kata jurujual itu.
Walaupun P.S. Selvaraja, 50, dan isterinya memperoleh pendapatan RM10,000 sebulan, jurutera itu masih berhati-hati dengan perbelanjaan keluarga.
“Awak tengok sajalah harga makanan dan barangan rumah meningkat setiap dua minggu,” kata bapa kepada dua anak itu.
“Semua benda mahal di kawasan bandar,” katanya.
Chong, 60, seorang pensyarah, satu-satunya yang ditemu bual menyatakan dia hidup selesa dengan pendapatannya dan isteri.
Sebab utama ialah kerana tidak mempunyai anak sementara dia dan isterinya masing-masing memperoleh pendapatan lebih RM15,000 sebulan.
“Saya kadangkala beri pinjam duit kepada saudara mara yang memerlukan bantuan,” katanya yang tinggal di Subang.
Keluarga Chong satu-satunya yang mampu bercuti ke luar negara.
“Tetapi hanya percutian pendek, antara tiga hingga empat hari saja,” katanya.