BERJAYA SATU ANAK BERANAK DAN KAYA RAYA


 

Netizen ‘sekolahkan’ Tun M selepas akui gagal satukan Melayu

Kenyataan ringkas bertajuk “Gagal” yang dimuat naik Tun Dr Mahathir Mohamad petang ini mengundang kecaman dan sindiran warga maya di platform X.

Dalam kenyataan tersebut, Dr Mahathir mengakui gagal menyatukan orang Melayu selepas berusaha lebih dua tahun untuk tujuan itu.

Bekas Perdana Menteri dua kali berkenaan turut mendakwa negara akan terlepas dari tangan orang Melayu dan sejarah bangsa Melayu kononnya akan berakhir.

“Saya telah usaha lebih dari dua tahun untuk menyatu orang Melayu. Saya perlu akui saya gagal.

“Oleh itu, negara tercinta ini akan terlepas dari tangan orang Melayu.

“Dan tamatlah sejarah orang Melayu kerana mereka lebih utama nasib pemimpin dari bangsa, negara dan agama,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Mahathir itu dilihat dihujani pelbagai respons sinis daripada netizen yang mempersoalkan naratif ancaman terhadap Melayu serta peranan bekas pemimpin Umno itu sendiri dalam landskap politik negara selama puluhan tahun.

Antaranya, pengguna X, @mrfirdausjailan menolak dakwaan bahawa kedudukan Melayu semakin terancam dengan menyatakan institusi utama negara masih dikuasai orang Melayu.

“Kuasa raja-raja Melayu yang menjaga agama dan bangsa Melayu masih utuh. Anggota Kabinet juga majoriti masih orang Melayu.

“Syarikat GLC juga majoriti masih diketuai oleh orang Melayu. Bantuan kerajaan juga majoritinya dapat kepada orang Melayu. Alhamdulillah,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @wtstethoscope82 pula menyifatkan kenyataan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sebagai retorik lama yang terus dimainkan walaupun beliau pernah memimpin negara lebih dua dekad.

“Kau PM dua kali lebih 22 tahun, masih nak ‘menyatukan orang Melayu’, masih main lagu mempertahankan bangsa agama. Keluarga dan kroni kaya. Rehatlah,” tempelaknya.

Sementara itu, pengguna @oresama2319 berpandangan masalah sebenar bukanlah perpecahan rakyat Melayu, sebaliknya kegagalan pemimpin Melayu sendiri untuk bersatu.

Menurutnya, tindakan Mahathir sendiri yang beberapa kali bertukar parti turut menimbulkan persoalan mengenai seruan perpaduan tersebut.

“Tun tak perlu satukan orang Melayu. Orang Melayu memang akan bersatu. Masalah yang tak bersatu tu pemimpin Melayu.

“Tun sendiri pun berada dalam dua parti dalam masa dua tahun jadi PM. Bersatu, lepas tu Pejuang. Lepas tu keluar Pejuang kemudian buat Putra. Mana kesatuan di situ Tun?” bidasnya lagi.



No comments: