Empat pemimpin Melayu DAP sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan M. Kulasegaran hadir ke mahkamah bertemu dengan individu kontroversi, Arun Doraisamy ketika prosiding berlangsung.
Mereka menegaskan bahawa tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu mengundang polemik awam, khususnya berkaitan persepsi terhadap integriti sistem perundangan negara.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Syerleena Abdul Rashid.
“Kami ambil maklum tentang penjelasan beliau mengenai isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam, khususnya berkaitan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, keempat-empat wakil rakyat terbabit menjelaskan bahawa tiada sebarang keputusan rasmi parti berhubung isu berkenaan, sekali gus menegaskan bahawa sebarang tindakan solidariti terhadap Arun tidak mewakili pendirian DAP.
Semalam, Kulasegaran berkata, dia hanya bertemu secara ringkas dengan Arun di luar Mahkamah Majistret Jawi dan memberi kata-kata semangat supaya individu berkenaan mempercayai proses perundangan yang bakal dihadapi.
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, beliau mengenali Arun sejak mewakili Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan anak-anaknya.
Mengulas lanjut, kumpulan pemimpin itu menyatakan bahawa DAP perlu mengambil pendekatan jalan tengah dengan mempertahankan prinsip keadilan serta konsep “innocent until proven guilty”, sambil memastikan keabsahan proses undang-undang terus dihormati.
Mereka turut mengingatkan agar sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan dielakkan demi menjaga keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.
No comments:
Post a Comment