𝗦𝗘𝗡𝗔𝗡𝗚 𝗝𝗔𝗗𝗜 𝗣𝗔𝗦: 𝗠𝗔𝗦𝗔 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗦𝗔𝗞𝗜𝗧 𝗗𝗜𝗔 𝗕𝗘𝗥𝗣𝗨𝗔𝗦 𝗛𝗔𝗧𝗜, 𝗠𝗔𝗦𝗔 𝗗𝗔𝗛 𝗡𝗔𝗞 𝗣𝗨𝗟𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗔 𝗧𝗨𝗡𝗚𝗚𝗔𝗡𝗚



PAS sekarang cuba cari apa-apa isu untuk tiup api perkauman. Terbaru, kisah Tabung Haji. 


Ada seorang wakil rakyat PAS, nama dia Azman Ibrahim, ADUN Jabi. Dia memang suka mengundang kontroversi. Pernah satu ketika, lunyai dia kena kecam sebab menyamakan wanita dengan barang.


Baru-baru ini, dia petik nama saya. Saya baca yang dia petik:


“Mantan Menteri Ekonomi merangkap MP Pandan ialah individu yang bertanggungjawab membawa cerita yang menghakis keyakinan orang ramai sehingga ramai pendeposit mengeluarkan simpanan dari TH dengan jumlah ratusan juta ringgit. Saya dari dulu lagi tak percaya Rafizi, sebab itu saya kekal menyimpan dalam TH”


Kalau dah petik nama, saya kena jawablah.


Memang betul saya ahli politik yang pertama yang membawa isu kelemahan tadbir urus kewangan Tabung Haji seawal 2015. Antara 2015 hingga 2019, saya telah menulis sebanyak 34 analisa dan pandangan; yang banyak mempengaruhi keputusan-keputusan kerajaan berkenaan Tabung Haji pada ketika itu.


Semua analisa ini boleh dibaca di blog saya rafiziramli.com/category/tabung-haji


Analisa saya bukan cerita, macam YB Azman buat cerita yang beri gambaran wanita itu seperti barang.


Isu yang saya bawa adalah berasaskan analisa kewangan, bermula dengan teguran dari Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa rizab Tabung Haji telah menjadi negatif.


Apabila Tabung Haji di bawah pentadbiran Najib Razak menidakkan teguran Bank Negara ketika itu, saya telah menunjukkan analisa berdasarkan penyata kewangan diaudit Tabung Haji sendiri.


Saya tahu YB Azman dari PAS ni mungkin tak faham, tapi saya ulang petikan analisa itu sebab banyak rakyat yang cerdik:


“ i. Nilai aset-aset anak syarikat Tabung Haji yang diwar-warkan kukuh dan mampu menampung rizab negatifnya itu adalah aset-aset Bank Islam yang berjumlah RM41.683 bilion yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji;


ii. Aset-aset ini tidak cair dan tidak boleh ditunaikan segera kerana ia berbentuk pinjaman yang diberikan oleh Bank Islam kepada pelanggan dan Kerajaan Persekutuan. Malah, aset-aset ini tidak boleh digunakan bagi tujuan lain kerana ia perlu menanggung hutang Bank Islam berjumlah RM44.692 bilion iaitu jumlah simpanan rakyat yang didepositkan dan tanggungan polisi takaful;


iii. Untuk memenuhi tanggungjawabnya membayar kembali simpanan rakyat yang menabung dengannya dan membayar dividen/bonus, Tabung Haji tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan dana dan asetnya sendiri;


iv. Penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan Tabung Haji telah mempunyai rizab negatif yang bermakna ia tidak cukup dana dan aset untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat sekiranya dikeluarkan serentak, apatah lagi untuk membayar dividen/bonus.”


Selepas itu, saya terus meneliti prestasi kewangan Tabung Haji ketika itu dan mendedahkan skandal-skandal berkaitan kelemahan tadbir urus kewangan Tabung Haji di bawah pentadbiran Najib Razak. Ini termasuklah:


1) Tabung Haji Menanggung Kerugian Terkumpul RM933 Juta Akibat Pelaburan Di Dalam Felda Global Ventures


2) Pelaburan Tabung Haji Di Dalam Syarikat Roti Silverbird: Saham Dibeli Pada Premium 177%, Kerugian RM90 Juta


3) Pelaburan Tabung Haji Di Syarikat Kejuruteraan Huluan (Ramunia Holdings Berhad) Catat Kerugian Atas Kertas RM200 Juta, Risiko Kerugian Jangka Panjang RM1.4 Bilion


4) Tabung Haji Terdedah Kepada Kerugian RM554 Juta Di Dalam TH Heavy Engineering Berhad


5) DS Najib Guna RM740 Juta Wang Rakyat Untuk Selamatkan TH Heavy Engineering Akibat Keputusan Pelaburan Tabung Haji Yang Salah


6) Tabung Haji Rugi RM64 Juta Akibat Pelaburan Di Dalam Perisai Petroleum Teknologi Berhad


7) Tabung Haji Terdedah Kepada Kerugian Lebih RM700 Juta Akibat Pelaburan Dalam Sektor Berisiko Seperti Minyak Dan Gas


8) Pelaburan Tabung Haji Dalam Theta Edge Berhad: Tabung Haji Suntik Dana Dalam Syarikat Yang Telah Kerugian RM330 Juta


9) Tabung Haji Perlu Jelaskan Kenapa Syarikat Bersekutunya Terima RM140 Juta Dana SRC International Sdn Bhd


Akibat kedudukan kewangan Tabung Haji yang buruk, setelah Pakatan Harapan mengambil alih dalam tahun 2018, kerajaan dengan segera perlu menyelamatkan Tabung Haji.


Ia dibuat melalui satu transaksi kewangan yang sebenarnya adalah satu bail-out oleh pembayar cukai.


Dalam tahun 2018, Kerajaan menubuhkan sebuah syarikat khusus milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) bernama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), untuk mengambil alih aset-aset Tabung Haji yang mengalami kerugian.


Nilai bersih aset-aset itu adalah RM9.7 bilion, tetapi kerajaan membayar sebanyak RM19.9 bilion, iaitu suntikan tambahan RM10.2 bilion. RM19.6 bilion melalui hutang, RM300 juta dengan suntikan tunai dari wang kerajaan.


Dengan suntikan RM10.2 bilion ini barulah ia membolehkan rizab Tabung Haji menjadi lebih baik dan membolehkan Tabung Haji membayar hibah tahunan, kerana Akta Tabung Haji tidak membenarkan Tabung Haji membayar hibah sekiranya petunjuk kewangan seperti rizab dan aset bersih tidak melepasi had tertentu.


Bagaimana kerajaan membiayai RM19.9 bilion untuk disuntik kepada Tabung Haji agar hibah dapat dibayar dan Tabung Haji dapat pulih?


Kerajaan meminjam sebanyak RM19.6 bilion melalui terbitan sukuk oleh UJSB, yang perlu dilunaskan semula. Seingat saya, ada dua sukuk yang perlu dilunaskan oleh kerajaan bagi membiayai pemulihan Tabung Haji ini.


Yang pertama, perlu dibayar tahun 2026. Yang kedua perlu dibayar 2029.


Jadi sekarang, Tabung Haji perlu berunding dengan UJSB, iaitu Kementerian Kewangan, mengenai berapa nilai aset-aset yang dipindahkan kepada UJSB itu yang akan dibeli semula dan dibayar oleh Tabung Haji kepada kerajaan untuk membolehkan kerajaan melunaskan hutang RM19.6 bilion itu. 


Kita perlu tunggu rundingan dan harga akhir yang dipersetujui, tetapi pada pandangan saya, sukar untuk kerajaan mendapat balik RM19.6 bilion yang diperlukan untuk membayar hutang, sebab nilai semasa dipindahkan hanyalah RM9.7 bilion.


Lagi pun, 80% dari aset-aset toksik yang dipindahkan dari Tabung Haji dalam tahun 2019 untuk menyelamatkan Tabung Haji itu adalah dalam bentuk saham. Banyak saham-saham itu telah terbukti kerugian besar, termasuklah Tabung Haji Heavy Engineering dan FGV.


Akhirnya, ada kemungkinan kerajaan perlu membayar balik hutang sukuk itu dengan menggunakan cukai yang dikutip. Sebab itu, sebenarnya setiap tahun saya dimaklumkan memang Kementerian Kewangan perlu menyediakan dana simpanan terkumpul sebagai persediaan untuk membayar balik hutang sukuk itu.


Berapa bilion dari cukai yang perlu dibelanjakan untuk membayar balik sukuk itu, kita tunggu dan lihat tahun 2026 dan 2029.


Berbalik kepada YB Azman dan PAS.


Semasa saya dan orang lain bergasak untuk menyelamatkan Tabung Haji, di mana mereka?


Bukan sahaja mereka tidak berbuat apa-apa, malah mereka mempertahankan segala kepincangan ini, kononnya ini satu muslihat untuk melemahkan Islam. 


Lihat kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Hadi Awang dalam tahun 2018:


ISU TABUNG HAJI AGENDA TERSIRAT JATUHKAN IMEJ ISLAM


Selepas Sheraton Move dan mereka berjaya tebuk atap, PAS menguasai Tabung Haji, termasuk YB Marzuk yang menjadi Timbalan Menteri Agama semasa itu.


Dia bukan tidak tahu semua ini. 


Malah, pentadbiran Perikatan Nasional juga mewujudkan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji dalam tahun 2021 dan laporannya dibentangkan kepada Jemaah Menteri semasa saya mula-mula menjadi Jemaah Menteri.


Siasatan Suruhanjaya Diraja itu tidak banyak berbeza dengan pendedahan-pendedahan yang saya pernah buat, tetapi Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak menyiarkan laporannya kepada orang ramai.


Kalau siar, ramai yang malu.


Jadi nasihat saya kepada PAS, cukup-cukuplah cuba meracun dengan api perkauman berkaitan isu Tabung Haji ini. 


Allah melihat segala-galanya.


Paling kurang, saya yakin yang saya telah melaksanakan tanggungjawab saya dan ada sedikit sumbangan memulihkan Tabung Haji.


YB Azman yang terpaling sengih dari Jabi ni, apa sumbangan kamu?


YB Marzuk, apa yang kamu buat masa jadi timbalan menteri dulu? Pelan pemulihan pun bukan dari kamu, masa nak selamatkan Tabung Haji pun kamu tentang, sekarang dah nak pulih kamu nak tunggang?


Tak malu ke kat kopiah tu?



No comments: