SIRI 1 - MEDIA ARUS PERDANA MEDIA YANG TIDAK SETIA





KATANYA ADA YANG DAPAT RIBU RIBAN. REZEKI KAN WALAU ZAMAN 98 DULU DOK DIMANA LAGI...EEERRRKKKK.....


Apabila PH berjaya menjadi kerajaan dan Anwar Ibrahim akhirnya tertabal sebagai Perdana Menteri, terdapat dua kelompok yang paling gembira dengan kejayaan tersebut.


Pertama, pendokong media parti dan mereka yang aktif dalam media sosial, media bebas serta media alternatif yang tidak pernah sama sekali memisahkan diri mereka daripada PH dalam menempuhi krikil-kritil tajam semua fasa perjuangannya.


Kedua, orang-orang parti yang merasakan penat lelah, peluh dan darah mereka yang tercurah selama hampir 25 tahun ini terbalas juga akhirnya.


Tetapi, setelah PH berjaya mengetuai kerajaan perpaduan, apakah nasib kedua-dua golongan itu sekarang ini?


Untuk siri 1 ini, saya ingin menulis berkenaan nasib golongan yang pertama terlebih dahulu.


Amat menyedihkan sebenarnya apabila setelah setahun mengetuai kerajaan, masih kedengaran rungutan serta keluhan bahawa mereka yang menjaga hal ehwal komunikasi dalam kerajaan perpaduan ini lebih mengutamakan media arus perdana berbanding media parti, portal bebas dan media alternatif yang selama ini banyak berjasa kepada PH.


Banyak cerita-cerita tidak enak kedengaran tentang bagaimana media parti dan media bebas lain atau wakil mereka yang dihargai oleh kerajaan semasa ini.


Sebagai sebuah kerajaan, tidak salah untuk kerajaan pimpinan Anwar ini memberi ruang kepada media arus perdana, tetapi janganlah diketepikan sama sekali media kedua itu, tambahan lagi, media kedua tersebutlah yang selama ini menyokong dan menunjangi kekuatan PH sehingga beroleh kejayaan.


Dan janganlah juga media yang ditubuhkan atas nama kerajaan perpaduan turut diketepikan, sedangkan ia mewakili semua parti dalam kerajaan dan mempunyai pelbagai platform yang tidak kurang meluas sebarannya.


Dalam hal ini, penting untuk disedari oleh mereka yang sedang berkuasa atau menjaga media serta komunikasi bahawa media arus perdana bukanlah media yang setia – kesetiaan mereka boleh tertumpah kepada sesiapa saja yang menjadi kerajaan.


Hari ini mereka bersama PH adalah semata-mata kerana ia merupakan kerajaan yang sedang berkuasa.


Jika PH diumumkan kalah pada jam 11.00 malam di malam keputusan diumumkan pada PRU16 akan datang, seminit selepas itu, media arus perdana sudah pergi kepada tuan baru dan tidak lagi memandang kepada PH.


Hakikatnya, media arus perdana bukan saja tidak pernah menyokong perjuangan PH, malah seringkali ketika PH berada di blok pembangkang dahulu, kerja mereka ialah memberi laporan yang berat sebelah serta menyakitkan hati.


Tidak ingatkah PH berapa ramai pemimpin mereka menang saman fitnah terhadap media arus perdana sebelum ini?


Lagi pula, kalau mahu dikira berdasarkan berkembangnya dunia maya sekarang ini, media arus perdana semakin mengecil pembaca serta peminatnya.


Rakyat bukan saja tidak lagi membeli akhbar bercetak dan portal media arus perdana juga jauh lebih ketinggalan berbanding portal alternatif atau media bebas dari segi jumlah pembacanya, bahkan semakin ramai yang tidak lagi mempunyai peti televisyen di rumah.


Kalau ada pun televisyen, ia hanyalah untuk menonton netflix dan acara-acara sukan saja.


Tontonan utama rakyat ketika ini ialah saluran melalui telefon bimbit masing-masing.


Selain itu, rekod media arus perdana kalau dikira berdasarkan dua PRU yang lalu, mereka boleh dianggap media yang tidak membawa tuah kepada kerajaan.


Ketika PRU14, media arus perdana berpihak kepada BN, tetapi BN kalah pada pilihan raya tersebut.


Pada PRU15 lalu, media arus perdana bersama PN, tetapi PN akhirnya tidak cukup kerusi untuk mengekalkan kerajaan dan PH yang memperolehi kerusi terbanyak sekali.


Apakah PH tidak sedar siapa yang menyumbang kepada kejayaannya dan adakah dalam PRU16 akan datang, PH awal-awal lagi mahu menempa kekalahan dengan terlalu bergantung kepada media arus perdana dan mengenepikan media kedua?


Setelah menjadi kerajaan sekarang, adalah lebih baik jika Anwar dan mereka yang berkaitan di PMO atau Kementerian Komunikasi supaya sedia melakukan sedikit reformasi dalam gerakan komunikasi dengan menggabungkan media parti, media arus perdana, media bebas dan media alternatif dalam semua aktiviti dan penyebaran maklumat tentang kerajaan.


Jangan dilupakan mereka yang setia dan media berkaitan parti kerana media inilah nanti yang akan timbul dan tenggelam bersama PH dalam apa jua keadaan.


Media arus perdana sebaliknya hanya timbul bila PH timbul, tetapi bila PH tenggelam, mereka akan timbul bersama parti lain yang timbul sebagai kerajaan.


Dengan itu, berpada-pada dalam memberi manja, takut bila masa tenggelam nanti, toleh kiri toleh kanan, PH hanya tinggal sebatang kara. – ShahbudinHusin 23/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/23/siri-1-media-arus-perdana-media-yang-tak-setia.html




No comments: