PAS PATUT CALONKAN TUN MAHATHIR TANDING DI KEMAMAN







Pas akhirnya menutup teka-teka mengenai Kemaman apabila memutuskan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan kemenangan calonnya di kawasan tersebut.


Dalam pengumuman mengenai perkara itu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya kini bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR.


Dengan tidak mengemukakan rayuan, ini bermakna suatu pilihan raya kecil atau PRK bagi Parlimen Kemaman terpaksa diadakan dalam waktu terdekat ini.


Mengikut peraturan SPR, sebaik sesebuah kawasan Parlimen atau Dun diisytiharkan kosong, suatu PRK hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.


Pada PRU15 tahun lalu, Che Alias Hamid yang mewakili Pas menang besar di Kemaman dengan majoriti 27,179 undi  dalam pertembungan empat penjuru.


Beliau mendapat 65,714 undi, diikuti Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terenggganu (BN) yang memperolehi 38,535 undi, diikuti calon PH, Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi).


Di atas kertas, keputusan Pas tidak mengemukakan rayuan dan ingin bertarung sekali lagi dalam PRK di Kemaman adalah kerana parti itu yakin mampu memenangi semula kawasan tersebut.


Dengan majoriti lebih 27 ribu, adalah sukar untuk calon kerajaan perpaduan menggugat kemenangan tersebut, waima jika dicampur undi PH dan BN sekali pun, ia masih jauh daripada mencukupi.


Begitu pun, oleh kerana kemenangan Pas di Kemaman dibatalkan disebabkan didapati wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15 lalu, mencalonkan semula Che Alias untuk bertanding semula dalam PRK akan datang ternampak amat tidak kena sama sekali.


Di gambaran umum, jika Che Alias dibenarkan bertanding semula, ia seolah-olah menampakkan Pas tidak serius untuk melawan rasuah dalam pilihan raya.


Pas malah akan tampak lebih terpuji jika meletakkan calon lain yang benar-benar berwibawa dan tidak pernah terkait dengan kes rasuah yang jelas.


Dalam hal ini, sesuai dengan minat Pas yang sejak kebelakangan ini begitu mengidolakan Tun Mahathir Mohamad, maka adalah lebih baik jika bekas Perdana Menteri dua kali itu diberi penghormatan diletakkan sebagai cakon di Kemaman.


Setidak-tidaknya dengan menjadikan Tun Mahathir calon di Kemaman, ada erti jugalah kekerapan Presiden Pas, Hadi Awang dan beberapa pimpinan tertinggi parti itu berkunjung ke kediaman beliau sejak kebelakangan ini.


Dan pencalonan itu tentulah tambah bernilai lagi mengambil kira susulan daripada keputusan empat negeri tadbiran Pas – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis melantik Tun Mahathir sebagai penasihat ekonomi empat negeri berkenaan atau juga dikenali sebagai SG4.


Barulah selepas ini Tun Mahathir lebih bermati-matian menarik pelaburan dan memakmurkan empat negeri itu.


Lantaran ketiadaan status sebagai Ahli Parlimen, Tun Mahathir sekarang ini sering diperlekeh setiap kali beliau bercakap yang membawa maksud untuk mengajak rakyat menjatuhkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau menumbangkan kerajaan perpaduan.


Kata-katanya selalu dianggap tidak relevan dan dipersenda kerana tanpa berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, beliau seolah-olah sekadar menjerit di luar gelanggang.


Maka itu, inilah peluang terbaik untuk Pas meletakkan semula Tun Mahathir di dalam gelanggang.


Dalam masa yang sama, kalau sudah berstatus Ahli Parlimen nanti, bolehlah beliau “digeli-gelikan” untuk kembali sekali lagi sebagai Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 03/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/



1 comment:

Anonymous said...

Tentu kehadiran di parlimen dia 100/100, boleh semak dan imbang dengan PMX... Ahlan wah sahlan