SKMM 'Big Brother': Tindakan elak ketegangan kaum, bukan semberono
Kritikan 8 wartawan veteran yang membantah tindakan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap beberapa portal berita yang
menyiarkan kandungan kurang wajar dibuat dengan tidak mendahulukan kepentingan
negara.
Menurut wartawan veteran media arus perdana, Noraini Nordin, yang
mempunyai 25 tahun pengalaman dalam bidang penulisan, teguran 8 'tokoh' media
terbabit amat tidak tepat kerana berdasarkan perkembangan terkini, media yang
dipanggil menghadap SKMM itu kelihatannya tidak menyunting dengan baik artikel
diterbitkan sehingga berita yang tersiar boleh menimbulkan keresahan hubungan
antara kaum atau agama.
"Apa jua tindakan yang diambil SKMM (sebenarnya) bukan secara
sembrono atau diputuskan atas lagak sebagai 'abang besar' tanpa pertimbangan
atau kajian.
"SKMM bersifat budiman dan membuat pertimbangan yang matang
demi menjamin keharmonian negara.
"Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula
secara umumnya sangat terbuka dan sedia menerima kritikan, bahkan kerapkali
dihentam atau dibalun dengan keras oleh pelbagai pihak melalui pelbagai
platform media.
"Namun, demi kepentingan negara dan menjaga keharmonian
masyarakat berbilang kaum untuk jangka panjang, kandungan yang mengelirukan,
tidak tepat serta boleh membawa kesan buruk sudah semestinya dipantau dan
disekat.
"Jika tidak diawasi maka 'bom jangka' 'pergaduhan dan
'rusuhan' tentu boleh meletus pada bila-bila masa saja," kata Noraini
dalam kenyataannya hari ini.
Noraini Nordin
Beliau yang juga Penerima Anugerah Kajai dan Penerima Anugerah
Belia Negara (kategori wartawan) itu turut mengingatkan bahawa agensi media
tidak boleh diberi kebebasan mutlak dalam menentukan agenda mereka.
Malah katanya, di rumah, sekolah, tempat kerja atau apa sahaja
aktiviti yang dilakukan, individu tertakluk kepada peraturan yang mengawal.
Inikan pula media yang mempunyai pengaruh kepada 30 juta pembaca di Malaysia.
"8 tokoh terbabit yang dikenali sebagai bekas wartawan
ternama lagi dihormati dan 'tauke' media dan memberi teguran terhadap SKMM itu,
tentu masih ingat bahawa ketika mereka menjadi ketua sebelum ini atau masih
lagi mengetuai media sehingga sekarang, tulisan wartawan bawahan perlu ditapis
dan disunting terlebih dahulu sebelum disiarkan.
"Kadang-kadang ada juga tulisan wartawan yang diputus untuk
tidak disiarkan.
"Proses yang sama juga dilakukan SKMM dalam 'dunia langit
terbuka' sekarang berikutan kebanjiran portal bebas atas talian," ujarnya.
Noraini yang juga Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat itu
menegaskan bahawa tanpa sebarang pengawasan atau sekatan, media bebas melapor
dan menulis apa sahaja maka bukan lebih banyak tamadun akan terbina, sebaliknya
hanya kemusnahan yang akan menjelma.
"Dalam hal ini, tiada sikap 'abang besar' dalam tindakan SKMM
itu. Ia adalah untuk memastikan agar negara ini terus selamat untuk diwarisi
kepada anak cucu kita semua," katanya lagi.
Kritikan 8 tokoh media arus perdana terhadap SKMM hari ini
mendapat liputan meluas media massa.
Bagaimanapun bagi tokoh wartawan media alternatif yang merasai
penindasan kebebasan media oleh kerajaan pada era kegemilangan tokoh terbabit,
mempertikaikan kenyataan mereka sebagai sebagai tidak tepat dan condong kepada
musuh politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.