NAIB PRESIDEN UMNO – KHALED NORDIN, JOHARI GHANI PALING POPULAR

 

Berikutan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, tumpuan paling utama bagi pemilihan UMNO pada 18 Mac ini tentunya bagi jawatan Naib Presiden.

Melihat kepada lapan nama yang mengemukakan pencalonan, tidak dapat dapat, pertandingan yang akan berlaku nanti adalah pertembungan dua kelompok dalam parti itu.

Lapan calon Naib Presiden UMNO itu ialah Khaled Nordin, Mahadzir Khalid, Johari Ghani, Wan Rosdy Wan Ismail, Azalina Othman Said, Reezal Merican Naina Merican, Hasni Mohamad dan seorang ahli biasa daripada Iskandar Puteri, Yusof Musa Jamaluddin.

Daripada lapan calon yang bertanding, persaingan sebenar hanyalah melibatkan tujuh saja kerana Yusof Musa yang tidak dikenali itu dirasakan tidak mampu memberi apa-apa cabaran.

Khaled Nordin dan Mahadzir Khalid adalah penyandang sedia ada bagi jawatan Naib Presiden bersama seorang lagi calon, Ismail Sabri Yaakob yang tidak mempertahankan jawatannya.

Berdasarkan senarai itu, Khaled Nordin, Wan Rosdy dan Azalina adalah mereka yang dilihat pro kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Jika ketiga-tiga mereka itu menang, ini akan memberi sumbangan yang mampu menjadikan kedudukan Zahid Hamidi lebih kukuh dan mencengkam dalam UMNO pasca pemilihan ini sehinggalah kepada tarikh PRU16 akan datang.

Johari, Hasni dan Reezal Merican adalah pemimpin yang tidak begitu pro kepada Zahid Hamidi, sebaliknya dikenali lebih condong kepada Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin yang kini digantung dan dipecat daripada UMNO.

Malah, sebelum jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO disekat daripada dipertandingkan, Johari disebut-sebut akan bertanding salah satu jawatan tersebut.

Beliau juga tidak sependirian dengan mereka yang pro Zahid Hamidi dan pernah secara terbuka menyatakan tindakan menyekat jawatan Presiden dan Timbalan Presiden daripada dipertandingkan bererti menyekat demokrasi dalam parti.

Bermakna dalam hal ini, kalau Johari, Hasni dan Reezal yang menang sebagai Naib Presiden nanti, ia adalah cabaran kepada Zahid Hamidi yang memungkinkan cengkamannya dalam parti menjadi tumpul.

Khairy Jamaluddin sendiri baru-baru ini memilih ketiga-tiga mereka itu sebagai pilihannya untuk diberi undi sebagai Naib Presiden UMNO.

Seorang lagi calon, Mahadzir Khalid yang merupakan penyandang jawatan nombor tiga itu tidak termasuk dalam kelompok yang pro atau tidak sebulu kepada Zahid Hamidi.

Beliau sebelum ini dilihat sebagai pemimpin yang rapat dengan Ismail Sabri Yaakob, malah ketika bekas Perdana Menteri itu memimpin kerajaan, beliaulah orang kepercayaannya.

Ketika Ismail Sabri tidak hadir beberapa kali mesyuarat MT UMNO sebelum PRU15 dulu, Mahadzir pun turut sama berbuat demikian.

Beliau hanya dilihat kembali merapatkan diri dengan Zahid Hamidi setelah terbentuknya kerajaan perpaduan yang dititahkan pembentukannya oleh Yang Dipertuan Agong dan Ismail Sabri bukan lagi Perdana Menteri.

Atas asas itu dan menjelang pemilihan UMNO akan datang ini, Mahadzir dilihat sukar untuk mempertahankan jawatannya kerana kedudukannya yang tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan.

Sebagai calon berkecuali, berada tengah-tengah dan tidak termasuk dalam mana-mana cai, Mahadzir lebih mungkin “mati berdiri” seorang diri dalam pemilihan kali bersama seorang lagi calon, Yusof Musa.

Tambahan lagi setelah kalah di Parlimen Padang Terap pada PRU15 lalu dan agak berusia pula berbanding enam calon lain, ternampak tiada nilai tambah yang memihak kepadanya sehingga mampu mencetuskan dorongan kepada perwakilan untuk mengekalkannya lagi sebagai Naib Presiden UMNO.

Begitu pun, didorong senario semasa dalam UMNO ketika ini, sebahagian perwakilan kelihatan lebih cenderung untuk mengundi berdasarkan blok – sama ada calon yang pro atau tidak sealiran dengan Zahid Hamidi.

Pilihannya ialah sama ada set A – Khaled, Wan Rosdy dan Azalina atau set B – Johari, Hasni dan Reezal.

Namun demikian, berdasarkan populariti individu, Khaled dan Johari adalah calon yang paling sukar untuk tidak diberi undi oleh perwakilan kali ini.

Tinjauan mendapati ramai perwakilan cenderung untuk memilih kedua-dua, walaupun berada dalam set yang berbeza.

Dengan itu, keputusan yang dijangka bagi jawatan Naib Presiden ialah 2-1 iaitu mana-mana kumpulan hanya mampu menang dua kerusi saja, sementara selebihnya adalah di pihak yang satu lagi.

Ertinya, satu lagi kekosongan itu adalah perebutan antara Wan Rosdy, Azalina, Hasni atau Reezal untuk mengisinya.

Siapa paling berpotensi? -.ShahbudinHusin 04/03/2023.