Boleh beri peruntukan MP pembangkang tapi runding dulu
Kerajaan Perpaduan tidak akan mengamalkan dasar diskriminasi seperti sebelum ini terhadap Ahli Parlimen pembangkang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Tambun) berkata, sebaliknya peruntukan akan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan selepas proses rundingan diadakan di antara pihak pembangkang dan kerajaan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Seri Shahidan Kassim (PN – Arau) dalam sesi tanya jawab Perdana Menteri, pagi ini.
“Peruntukan … saya tidak pernah kata tidak ada. Sepanjang Pagoh (Muhyiddin Yassin) jadi PM kita tidak pernah ada peruntukan.
“(Kerajaan) Madani adil, jadi sebelum ini Pagoh tidak adil. Itu maksud Arau? Maknanya jangan ikut pengalaman lama yang tak beri peruntukan kepada pembangkang. Ikut Marang (Hj Hadi Awang) kata zalim. Jadi saya tidak mahu zalim
“Apa yang berlaku semasa kerajaan di bawah Bera (Ismail Sabri Yaakob) tidak mula (peruntukan) dengan begitu (tuduh menuduh). Mula dengan rundingan. Rundingan secara elok. Bincang kaedahnya.
“Saya akan tanya bagaimana Perlis, Kelantan, Terengganu? Kalau ada rundingan, itu boleh jalan. Saya tidak nak gaduh apa apa.
“Saya cadangkan ada proses rundingan, prinsipnya saya tidak pernah menolak beri peruntukan kepada pembangkang. Tetapi proses perundingan belum berlaku, yang ada permusuhan. Saya usulkan rundingan. Kalau selesai esok, lusa boleh lulus (peruntukan),” katanya.
Sebelum itu, Anwar menjawab mengenai bantuan banjir di Johor dan negeri lain yang disalurkan terus kepada mangsa dan dipertikaikan kerana tidak memberi sejumlah tertentu kepada Ahli Parlimen.
Jelasnya, bantuan banjir di Johor sebanyak RM50 juta diberi terus kepada mangsa, sama seperti bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu tahun lalu.
“Bantuan wang ehsan RM1,000, bantuan ehsan kematian RM10,000, bantuan barangan asas RM2,500 setiap keluarga, bantuan pembaikan rumah RM5,000. Ini bukan sedikit dan kita teruskan,” katanya.
Mengenai perisytiharan darurat di kawasan dilanda banjir pula, PM menolak melakukannya kerana bantuan mampu disampaikan kepada mangsa dengan cara biasa.
“Darurat dikenakan kalau kaedah biasa tidak boleh dijalankan. Darurat tidak perlu. Berdasarkan pengalaman di Johor prestasi petugas amat baik. Bila berlaku banjir langkah keselamatan dan kebajikan lebih baik daripada sebelumnya.
“Peruntukan sampai, jentera kerajaan negeri ada di bawah, dan kita sampaikan. Kaedah yang sama di negeri Johor
“Tentang moratorium peminjam pula, ada cadangan kerajaan Johor untuk melengahkan bayaran. Setakat ini Maybank, CIMB setuju, semalam dan hari ini kita hubungi bank lain untuk mereka ikuti langkah itu,” katanya lagi.