*Kenyataan Media Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; pada hari Jumaat 20 Januari 2023 di George Town, Pulau Pinang*

 *Kenyataan Media Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; pada hari Jumaat 20 Januari 2023 di George Town, Pulau Pinang*





_Laporan polis terhadap MP Permatang Pauh, semoga beliau segera sedar dan insaf_


Saya telah membuat suatu laporan polis terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh dari PAS, YB Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan; berikutan perkongsian di laman Facebook beliau yang mendakwa bahawa ‘orang kafir’ ingin ‘menjatuhkan Islam’.


Kenyataan tersebut, meski dengan tergesa-gesa telah dipadam dan kononnya ditulis oleh pentadbir media sosial beliau; adalah sangat berpotensi membawa bahaya terhadap perpaduan negara berbilang kaum ini. Fawwaz telah mempersenjatakan media sosial miliknya untuk meniup bara kebencian dalam kalangan penyokongnya, demi kepentingan politik.


Kenyataan tersebut boleh mengganggu ketenteraman awam, malah tidak melampau kalau kita katakan bahawa ia boleh mencetuskan kerusuhan antara kaum. Dan ini tentu sekali bersalahan dengan undang-undang, seperti yang termaktub di bawah Seksyen 499, 505(b) dan (c) Kanun Keseksaan serta Seksteb 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Ini tentunya bukan kali pertama Fawwaz mencuba untuk mencetuskan ketegangan antara kaum di tengah kehangatan pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Beliau sepatutnya menjauhi publisiti murahan dengan bermodalkan sentimen kaum dan agama, kalaupun beliau tidak mempunyai kapasiti intelek untuk membahaskan soal-soal ekonomi dan dasar yang lebih meluas demi kemaslahatan masyarakat terbanyak.


Fawwaz harus segera menginsafi bahawa beliau adalah seorang wakil rakyat bagi seluruh lapisan masyarakat. Bukan agama atau kaum tertentu sahaja. Semoga pihak polis tidak berdiam diri dan menyiasat nawaitu Fawwaz agar ia segera diperbetulkan demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air.


*SYERLEENA ABDUL RASHID*

*AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA*

*ADUN SERI DELIMA*


No comments: