70 PERATUS PENGUNDI LEBIH FIKIR SOAL KEHIDUPAN DAN EKONOMI, TAK SEDIA PRU TAHUN INI

 

Apa yang barangkali sering tidak disedari oleh kita semua ialah daripada jumlah keseluruhan penduduk, mereka yang terlibat secara langsung dengan politik dengan menganggotai parti-parti tertentu adalah sekitar 20 peratus saja.

Itu pun sebahagian daripadanya adalah merupakan ahli yang tidak aktif dan tidak memegang sebarang jawatan, malah ada juga yang dijadikan ahli sesebuah parti politik tanpa pengetahuan mereka.

Dengan hakikat tersebut, apabila ada pilihan raya, hanya golongan 20 peratus itu sajalah yang ghairah, sibuk dan sering menonjolkan diri seolah-olah mereka penentu segala-.galanya.

Mereka ini boleh juga disebut sebagai pengundi politik iaitu hidup dengan politik dan mengundi pun berdasarkan parti yang mereka sertai atau menjadi ahli.

Selain 20 peratus itu, mungkin 10 peratus atau 15 peratus lagi adalah penyokong kepada parti-parti tertentu berdasarkan hubungan kekeluargaan dengan pemimpin, pemimpin setempat adalah kawan dan kenalan atau kerana ingin menyokong seseorang pemimpin yang dikagumi.

Almarhum Nik Aziz Nik Mat adalah contoh pemimpin yang dikagumi yang membuatkan ramai rakyat Kelantan mengundi Pas di peringkat DUN kerana ingin beliau kekal sebagai Menteri Besar, tetapi di peringkat Parlimen, mereka yang sama memberikan undi kepada UMNO dan BN.

Dalam erti kata lain, jika hanya 20 peratus rakyat saja merupakan pengundi politik, ditambah dengan golongan penyokong yang berjumlah sekitar 10 hingga 15 peratus, selebihnya iaitu 65 atau 70 peratus lagi adalah rakyat biasa yang tidak menyertai mana-mana parti.

Mereka yang tidak berparti ini, selain merupakan pengundi terbesar apabila pilihan raya diadakan, sokongan yang mereka berikan kepada parti-parti juga boleh berubah-ubah.

Di samping perubahan sokongan itu dipengaruhi oleh watak pemimpin yang ditonjolkan dan isu-isu semasa yang timbul, golongan ini juga selalunya prihatin dengan dasar yang ingin dilaksanakan oleh sesebuah parti dan janji ketika kempen diadakan.

Seringkali yang paling mempengaruhi mereka dalam membuat pilihan ialah berkaitan ekonomi yang mencakupi peluang pekerjaan, perniagaan, pendidikan, penerusan kehidupan, pemilikan rumah, pengangkutan dan lain-lain lagi.

Mereka ini juga dipanggil sebagai pengundi ekonomi yang memberi undi mereka berdasarkan keyakinan terhadap kemampuan sesebuah parti itu memberi keselesaan kepada kehidupan masa depan.

Dalam mana-mana pilihan raya, golongan atas pagar inilah yang sebenarnya menjadi penentu kemenangan.

Dalam keadaan sekarang di mana ekonomi belum pulih dan ramai yang terhimpit kesusahan kesan wabak Covid19, apakah sesuai jika diadakan PRU dan adakah golongan pengundi yang merangkumi 65 hingga 70 peratus ini akan keluar mengundi?

Tidak belajarkah semua orang daripada peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRN Melaka dan Johor?

Meskipun UMNO dan BN menang cemerlang dalam kedua-dua PRN itu, haruslah disedari bahawa mereka yang keluar mengundi hanya lebih sedikit daripada 50 peratus saja.

Bermakna, yang ghairah dan keluar mengundi adalah kelompok pengundi politik semata-mata, manakala pengundi atas pagar yang memikirkan soal ekonomi dan kelangsungan hidup sama sekali enggan melibatkan diri.

Jadi, apa ertinya kemenangan sesebuah parti itu?

Lebih daripada itu, dengan kemenangan yang tempang itu juga, hanya kelompok tertentu dalam UMNO – bukan semua parti-parti politik – mahu PRU15 diadakan dengan segera.

Secara nisbahnya, golongan tersebut amat kecil bilangannya dan tujuan mahu pilihan raya segera itu pula lebih bersifat kepentingan peribadi dan untuk menyelamatkan diri.

Demi keadilan kepada seluruh rakyat dan agar kemenangan yang dicapai mana-mana parti benar-benar memberi makna atau disokong oleh majoriti rakyat, mengadakan pilihan raya pada tahun ini jelas tidak sesuai dan merupakan suatu penganiayaan kerana majoriti rakyat belum begitu sedia berdepan dengannya.

Dengan fasa endemik dan sempadan negara akan dibuka bermula 1 April ini, waktu yang diperlukan untuk semua orang memulihkan kehidupan masing-masing ialah sekurang-kurangnya setahun daripada sekarang.

Sedemikian itu, tahun 2023 adalah tahun di mana keselesaan sudah mula menjelma dan ketika itu barulah lebih sesuai untuk diadakan pilihan raya. – ShahbudinHusin 30/03/2022.