Bagi tujuan mempertahankan aktiviti pembalakan, di samping mengampu kepimpinan kerajaan negeri yang melakukannya, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, membalak dan menebang pokok-pokok adalah bagus untuk populasi harimau.
Menurutnya, kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baru yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau.
“Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau.
“Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok.
“Jadi kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya.
“Tetapi dalam hutan simpan, susah untuk harimau tangkap (mangsa),” katanya lagi.
Wah…wah…wah…apakah ini teori dan kajian baru oleh Jabatan Perhutanan Kelantan?
Persoalannya, dengan berlakunya pembalakan dan hutan bertukar menjadi tanah lapang, ke manakah harimau yang sedia mendiami hutan itu akan pergi?
Adakah mereka akan pergi ke hutan yang lebih jauh atau sebahagiannya mungkin mati kerana tiada lagi tempat untuk mencari makan?
Kemudian apabila tumbuhan baru tumbuh di hutan-hutan yang balaknya sudah ditebang itu, sejauh mana kemungkinannya harimau yang melarikan diri itu akan datang kembali semula semata-mata untuk memburu kancil?
Dalam hal berkaitan, mungkin betul dalam kawasan yang ada tumbuhan baru akan menggamit kehadiran kancil, tetapi tidakkah ia juga menyebabkan kehadiran harimau lebih mudah disedari oleh kancil?
Akhirnya kancil akan lebih dulu melarikan diri atau bersembunyi untuk mengelakkan daripada dibaham harimau.
Sudahnya, harimau nak makan apa?
Ehhh…Pengarah Perhutan Kelantan ini sebenarnya mahu selamatkan harimau dengan mengekalkan hutan atau nak menggalakkan lagi pembalakan diteruskan?
Apa pun, tentu seronok pemegang kuasa kerajaan negeri jika ada Pengarah Perhutanan yang boleh berfikir macam ini!!! – ShahbudinHusin 25/01/2022.