Hari ini, 1 Mac bermakna genap setahun Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri dengan rekod sebagai Perdana Menteri pertama dalam sejarah negara yang memperolehi jawatan tersebut melalui pengkhianatan dan jalan pintu belakang.
Tetapi apakah yang boleh kita banggakan dalam tempoh setahun beliau menjadi Perdana Menteri?
Selain tiada apa-apa yang membanggakan, kecuali dengan tertampal dalam sejarah ada menteri bercuti kerana memotong usus perut, timbalan menteri diberi cuti 55 hari ketika Covid19 kerana ingin bersama keluarga di New Zealand dan duta bertaraf menteri yang hanya duduk di rumah, keadaan negara secara umumnya penuh dengan ketidaktentuan dan kecelaruan sejak setahun yang lalu.
Bukan saja mengurus negara dan ekonomi tampak celaru, malah mengurus kemasukan budak-budak ke sekolah pun terlihat tidak mampu.
Lebih buruk, tarikh ulangtahun pertama Muhyiddin menjadi Perdana Menteri juga bagai diraikan dengan berita kemasukan dua Ahli Parlimen PH melompat menyokong PN.
Di tengah-tengah keabsahan Muhyiddin terus dipertikaikan dan tuntutan agar Parlimen dibenar bersidang, tiba-tiba Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengumumkan mereka keluar PKR untuk beralih menjadi pengkhianat menyokong PN.
Bermakna, setelah menubuhkan kerajaan PN dan menjadi Perdana Menteri sejak 1 Mac tahun lalu dengan cara khianat dan melalui pintu belakang, Muhyiddin terus membuktikan jalan khianat dan membeli sokongan melalui kuasa wang dan kedudukan adalah pilihannya untuk mengekalkan kuasa.
Dengan apa yang ditunjukkan Tuhan ini, terbukti nyatalah di depan mata kita bahawa kerajaan PN yang dibinanya selama ini penuh dengan kekotoran yang menjijikkan.
Di samping kerajaan PN pimpinan Muhyiddin ini sarat dengan pelbagai kelemahan, kegagalan dan caca marba yang tidak perlu lagi dihuraikan, kesalahan paling besarnya ialah tidak menghormati, malah membenam demokrasi.
Sudahlah kuasa diperolehi melalui pengkhianatan dengan menikam demokrasi sehingga dipanggil kerajaan pintu belakang, untuk mengekalkan kuasa pula, sekali lagi amalan demokrasi telah dikhianati.
Tidak cukup dengan tawaran kedudukan, jawatan dan habuan yang melimpah ruah sehingga ada yang duduk di rumah sambil memenuhi hobi ke laut pun boleh dapat gaji dan kemudahan bertaraf menteri, perlaksanaan darurat turut dikuatkuasakan untuk mengelak daripada kedudukan dijatuhkan.
Walaupun cubaan pertama mencadangkan darurat ditolak oleh Agong, Muhyiddin dan kerajaan pintu belakang ini nampaknya tanpa perasaan malu terus mengusulkannya buat kali kedua.
Akhirnya, walaupun ditekankan darurat yang dilaksanakan untuk menangani Covid19, sehingga ini tidak ternampak ada satu pun tindakan dibawah darurat diambil untuk menangani wabak tersebut, kecuali menekan rakyat dengan menaikkan kompaun melanggar SOP sehingga RM10 ribu.
Soalnya, apakah menaikkan denda itu berkesan untuk membendung Covid19, sedangkan ramai menteri sendiri tidak dikenakan tindakan kerana melanggar SOP, selain PN dan Muhyiddin pula terus berpolitik dengan mengadakan mesyuarat parti dan “membeli” Ahli Parlimen untuk melompat dalam tempoh PKP dan darurat?
Di mana sebenarnya rasa hormat Muhyiddin terhadap Agong yang sebelum ini bertitah agar tiada mana-mana pihak berpolitik ketika wabak dan darurat?
Hakikat yang nyata, walau baru setahun berkuasa, kerajaan PN adalah merupakan kerajaan paling buruk sekali dalam sejarah negara.
Khianat terhadap mandat rakyat adalah perlakuan paling buruk sekali oleh PN sebagai sebuah kerajaan sehingga yang diutamakan sejak setahun yang lalu bukanlah kebajikan rakyat, tetapi bagaimana untuk mengekalkan kuasa semata-mata.
Oleh itu, kalau pun tidak mampu dijatuhkan dalam waktu terdekat, PN ini tidak harus lagi diberi undi untuk ia mendapat sebarang ruang untuk kekal sebagai kerajaan.
Memberi mereka undi samalah seperti sengaja memilih neraka kehidupan sebagai pilihan..
Kalau beroleh kuasa dengan cara khianat dan pintu belakang pun mereka sanggup mengusulkan darurat iaitu cara paling tidak demokratik untuk mengelak dijatuhkan, pastilah lebih dahsyat kemungkinan yang berani mereka lakukan jika dipilih melalui undi yang sah secara majoriti.
Dipenuhi dengan pengkhianat, pelompat dan pedagang kuasa waima dengan kesanggupan menjual nama agama dan bangsa, PN adalah parti dan kerajaan palsu yang lahir daripada perjuangan yang selama ini juga palsu.
(Shahbudindotcom 01/03/2021)