Pengumuman Kementerian Alam Sekitar dan Air menukar nama singkatan asal kementerian itu daripada bahasa Melayu ‘Kas’ kepada Bahasa Inggeris ‘Mewa’ terus menerima kritikan dan kecaman.
Terkini Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoalkan tindakan kementerian itu.
“BOSS tak mau komen pasal maksud “mewa” dalam bahasa Kelate. Nama Kementerian asal bahasa Melayu, kenapa tukar ke Bahasa Inggeris?” soalnya dalam hantaran di Facebook yang bahasakan dirinya sebagai ‘boss’.
Steven yang juga bekas timbalan menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) teringat bagaimana Pakatan Harapan (PH) diserang apabila satu program anjuran kementerian berkenaan menggunakan Bahasa Inggeris.
“BOSS masih ingat lagi dulu di KBS bila salah satu program di bawah Bulan Sukan Negara guna bahasa Inggeris, kena kecam kiri kanan macam dunia nak kiamat. Dewan Bahasa kecam, NGO kecam, NGI kecam.
“Itu nama satu program sahaja.
“Ini nama satu Kementerian kena tukar jadi Bahasa Inggeris macam mana pula? Takkan dah dibolehkan sekarang?
Takkan nak “ikut” PH pula?” soalnya lagi.
Dalam hal ini, beliau mempersoalkan di mana perginya suara-suara pejuang bahasa.
“Diam seribu bahasa sebab tak boleh salahkan DAP sekarang? Tanya je, jangan marah. Takpa la,” katanya.
Tambahnya yang bukan sekadar mengkritik malah mencadangkan nama baharu untuk menteri MEWA ini dengan menggunakan bahasa Melayu bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan singkatan maksud yang baik dan berkaitan tugasan kementerian.
“KASA – sejenis kain halus, ringkasan “perkasa”, “angkasa”. KELITA – bahasa Iban, sejenis lampu pelita yang digunakan untuk menyuluh rumah panjang. KEMALA – batu geliga alam dalam lagenda nusantara, nama pena Sasterawan Negara, Dato Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah. KELAMA – sejenis tumbuhan herba berkhasiat yang boleh didapati di merata tempat di Asia Tenggara.
“Singkatan dengan bunyi baik tanpa maksud sebenar atau sempurna KELITAR, KAMIR dan KEMIR. Mohon pertimbangan YB Menteri MEWA. Semoga lancar segala usaha YB di kementerian.
“Bangsa hebat tidak gelisah, jiwanya yakin, mutunya etika, bahasa hebat tidak dipaksa, kosanya marhaen, nahunya merdeka,” tulis beliau.
Terdahulu, Kementerian Alam Sekitar kini menggunakan nama baharu kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA).
Penjenamaan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung, semalam.
Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media memaklumkan, penjenamaan itu selaras dengan keputusan kerajaan memberi tanggungjawab pengurusan air negara kepada MEWA disamping berperanan dalam pelestarian alam sekitar.