WAWASAN 2020 YANG GAGAL



Ketika berucap sempena sambutan Ambang Merdeka Selasa lalu, Tun Mahathir Mohamad tanpa segan silu menyalahkan pendekatan Perdana Menteri ke-5 dan Perdana Menteri ke-6 sebagai punca matlamat Wawasan 2020 gagal dicapai.
“Tahun 2020 ini agak signifikan bagi saya kerana hampir 3 dekad yang lalu kita lancarkan Wawasan 2020 dan menyasarkan tahun ini mencapai tahap negara maju.
“Tetapi, kerana beberapa pendekatan yang diambil pemimpin kerajaan ke-5 dan ke-6, maka wawasan itu tidak dapat dicapai pada tahun ini.
“Untuk itu, kita perlu lanjutkan tempoh itu selama 10 tahun lagi,” kata Tun Mahathir merujuk kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai kesinambungan Wawasan 2020 yang diperkenalkan baru-baru ini.
Mari kita renung-renung serta fikir-fikir sejenak tentang hal ini.
Wawasan 2020 dilancarkan pada 1991 dengan sasaran selama 30 tahun untuk mencapai status negara maju.
Bagi tempoh 30 tahun iaitu antara 1991 hingga 2020, Malaysia memiliki empat orang Perdana Menteri – Tun Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan Tun Mahathir sekali lagi.
Untuk tempoh 1991 hingga 2003 iaitu 12 tahun, Perdana Menteri ketika itu adalah Tun Mahathir.
Untuk tempoh 2003 hingga 2009 iaitu selama 6 tahun, Perdana Menteri Malaysia ialah Tun Abdullah Badawi.
Untuk tempoh 2009 hingga 2018 iaitu lebih kurang 9 tahun, Perdana Menteri Malaysia adalah Najib.
Untuk tempoh 2018 hingga 2020 iaitu hampir 2 tahun, Tun Mahathir sekali lagi berpeluang menjadi Perdana Menteri.
Bermakna, dalam tempoh 30 tahun perlaksanaan Wawasan 2020, Tun Mahathir memegang kuasa sebagai Perdana Menteri selama hampir 14 tahun, manakala Tun Abdullah dan Najib berkongsi tempoh lebih 15 tahun.
Maka, di mana logiknya segala kesalahan atas kegagalan Wawasan 2020 hanya diletakkan kepada Tun Abdullah dan Najib semata-mata?
Apakah Tun Mahathir yang berkuasa selama hampir 14 tahun tempoh perlaksanaan Wawasan 2020 tidak bersalah apa-apa?
Bukankah selepas melancarkan Wawasan 2020 pada 1991 dan pada 1998, beliau memecat Anwar Ibrahim serta kemudian berpeluang berkuasa semula pada 2018 dan terus sekali lagi bertindak menghuru-harakan PKR merupakan antara sebab negara lebih bergelumang dalam soal politik dan tidak dapat menumpukan kepada pembangunan negara?
Tidakkah itu antara sebab mengapa Wawasan 2020 gagal dicapai?
Malah, ketika Tun Abdullah dan Najib menjadi Perdana Menteri, siapakah yang banyak mengacau kerajaan?
Lebih daripada itu, kalau pun Tun Abdullah dan Najib mahu dipersalahkan atas kegagalan Wawasan 2020, siapa yang memilih dan menaikkan kedua-dua pemimpin tersebut sebagai Perdana Menteri?
Secara keseluruhan, bukankah Tun Mahathir sendiri lebih banyak salah berbanding Tun Abdullah dan Najib atas gagalnya Wawasan 2020?
Berfikir di luar imaginasi pula, andainya di tahun 2030 nanti Tun Mahathir masih hidup dan status negara maju tidak juga dapat dicapai, siapakah lagi yang mahu dipersalahkannya pada waktu itu? (ShahbudinHusin 02/01/2020)

No comments: