BURUK PERANGAI GENG PINTU BELAKANG DALAM PKR TIDAK BOLEH DIBIARKAN BERTERUSAN



Dari sehari ke sehari, buruknya perangai kumpulan serpihan dalam PKR yang diketuai Azmin Ali semakin terdedah satu demi satu.

Daripada semua perlakuan itu, ketaksuban kumpulan serpihan ini hanyalah semata-mata rakusnya mereka kepada kuasa dan jawatan.

Demi kerana ingin mengejar kuasa dan tingginya jawatan itu, semua perkara mahu dilakukan melalui pintu belakang dengan tidak memperdulikan peraturan serta undang-undang.

Sebab itu, kumpulan serpihan Azmin ini juga selalu disebut geng pintu belakang lantaran mereka suka mencari pintu belakang untuk mencapai sesuatu tujuan yang diimpikan.

Mula-mula mereka tidak hadir mesyuarat parti untuk sekian lama dan kemudian menuntut Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR agar tunduk dan bertemu dengan mereka dalam mesyuarat pintu belakang kononnya untuk membincangkan rekonsilasi atau perdamaian.

Perdamaian apa kalau awal-awal lagi sudah tunjuk perangai memboikot mesyuarat parti?

Mujur Anwar tidak tunduk tehadap tuntutan mereka itu, jika tidak, lagilah besar kepala mereka sekarang ini.

Untuk apa dilayan mesyuarat pintu belakang, sedangkan mesyuarat melalui pintu depan iaitu mesyuarat MPP dan Biro Politik tiap-tiap bulan diadakan?

Kemudian, apabila ada keputusan mesyuarat yang tidak dipersetujui, mereka mengeluarkan kenyataan bersama kepada media memprotes keputusan tersebut.

Ehhh…di mana mereka ini belajar ilmu berorganisasi?

Kalau tidak setuju dengan keputusan mesyuarat, bantahlah dalam mesyuarat atau datang setiap kali PKR mengadakan mesyuarat agar mereka tahu semua perkembangan dan keputusan yang dibuat.

Bantah-bantah dalam media tentang keputusan mesyuarat ini merupakan satu lagi tindakan pintu belakang yang sebenarnya lebih kurang sama macam gebang dan sembang di kedai kopi saja statusnya.

Sekadar menghiburkan hati, bolehlah dengar cerita-cerita kedai kopi.

Di waktu yang sama, Azmin juga terus berusaha untuk mencapai cita-cita politiknya memintas melalui pintu belakang kedudukan Anwar yang sudah dipersetujui sebagai calon tunggal untuk jawatan PM8.

Macam-macam usaha dilakukannya seperti menjadi pembodek utama Perdana Menteri, merelakan akaun Twitternya sebagai alat hebahan serta promosi aktiviti Tun Mahathir Mohamad, sentiasa mahukan Perdana Menteri memegang jawatan sehingga habis penggal, mengadakan perjumpaan sulit dengan pembangkang bagi menggambarkan kepada Tun Mahathir dirinya ada kekuatan dan pelbagai lagi.

Lebih-lebih lagi setelah “video Haziq” tersebar luas, lagi kuat dia membodek Perdana Menteri kerana hanya disitulah saja talian hayatnya yang ada.

Oleh kerana terlalu taksub dengan pintu belakang, Azmin seolah-olah terlupa bahawa bukan kuasa mutlak Tun Mahathir menentukan siapa penggantinya dalam era PH ini.

Kuasa itu ada dalam tangan Majlis Presiden PH dan oleh kerana Anwar sudah dinamakan sebagai calon PM8 sejak sebelum PRU14 lagi, bermakna hanya Majlis Presiden saja yang berkuasa mengubah keputusan tersebut.

Menjelang Kongres Keadilan Nasional di MITC Melaka pada 6 dan 8 Disember ini, geng pintu belakang Azmin hampir pasti tidak akan hadir dan memboikotnya.

Azmin hanya akan hadir untuk merasmikan Kongres Wanita PKR saja, sementara Kongres AMK akan dirasmikan oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sebagaimana Azmin tidak hadir mesyuarat PKR sejak setahun yang lalu, sempena kongres di Melaka nanti, beliau akan sekali lagi meneruskan tindakan boikotnya dan difahamkan akan menganjurkan satu “Kongres Pintu Belakang” di sekitar Lembah Kelang pada tarikh yang sama.

Hakikat ini sebenarnya menyerlahkan lagi perlakuan buruknya perangai mereka ini yang melebihi apa yang pernah berlaku dalam UMNO, MIC dan lain-lain parti dalam bab berkrisis dengan pucuk pimpinan.

Dalam UMNO dan MIC pun biasa bergaduh dan berkrisis, tetapi belum lagi pernah mereka mengadakan mesyuarat yang lain dan berasingan dengan mesyuarat yang telah ditetapkan oleh ibu pejabat parti.

Selain itu, ada juga perkhabaran tentang percubaan mahu memalukan Anwar dengan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Presiden PKR itu.

Usul itu selain menjadi agenda utama dalam “Kongres Pintu Belakang” anjuran Geng Azmin, ia juga mungkin akan dinaikkan dalam Kongres AMK dan Wanita PKR.

Oleh kerana Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap AMK sudah digugurkan, barangkali usul itu tidak menjadi akan menjadi kenyataan dalam Kongres AMK, tetapi mungkin tidak mustahil menjadi kenyataan dalam Kongres Wanita kerana sayap ini memang pentaksub Azmin.

Mengusul undi tidak percaya kepada Anwar adalah satu lagi tindakan pintu belakang yang hanya membuang masa dan semata-mata bersandarkan kegelojohan serta tamak kuasa.

Menolak atau menggugurkan pemimpin mesti dilakukan melalui pemilihan parti yang diadakan tiga tahun sekali dan dalam hal ini, mereka seharusnya menunggu pemilihan tahun 2021 akan datang untuk berbuat demikian.

Satu demi satu dan berterusannya tindakan buruk perangai Geng Azmin yang suka menggunakan pintu belakang ini, Anwar dan PKR harus memulakan tindakan tegas terhadap mereka itu.

Lagi dibiarkan, lagi rosak PKR dibuatnya nanti. (02/12/2019)