APA MAKSUD ANWAR"JANGAN UJI SAYA"


Di Konvensyen PKR Perak semalam yang dihadiri lebih 3,000 orang dan di ketika parti itu sedang berdepan kemungkinan ada dua kongres berasingan hujung minggu ini, Anwar Ibrahim melontarkan amaran agar jangan ada sesiapa cuba menguji kesabarannya.
Presiden PKR itu berkata, selagi bergelar presiden, beliau bertanggungjawab untuk membina kekuatan parti dan dalam masa yang sama menghormati suara akar umbi.
“Ada yang kata Anwar ini lemah sangat, sabar sangat, malah Shamsul Iskandar (ketua penerangan PKR) kata…sabar tahap dewa.
“Bezanya parti kita dengan orang lain bukan cakap sikit terus pancung.
“Tapi jangan uji saya… Saya sabar sebab saya fikir orang lain ada hak bagi pandangan.
“Tetapi kalau kesabaran itu sampai memberi gambaran parti pecah dan lemah, saya tidak boleh (tak akan bertolak ansur),” katanya sambil disambut tepukan.
Apakah maksud amaran itu?
Jika diperhati, tindakan kumpulan penentangnya dalam PKR boleh dikira sudah agak melampau sejak kebelakangan ini.
Mereka bukan saja mempertikai dan tidak lagi mengendahkan hal ehwal parti, malah berani mengecam Anwar secara terbuka melalui media.
Tapi, Anwar masih sabar.
Lebih daripada itu, mereka juga tidak hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak lebih setahun yang lalu, walaupun peraturan parti jelas bahawa tiga kali tidak hadir berturut-turut tanpa alasan, tindakan menggugurkan jawatan sudah boleh dikenakan.
Tapi, Anwar tetap sabar.
Mereka yang tidak hadir mesyuarat, tetapi kemudian Anwar pula yang diminta tunduk dengan desakan dan berjumpa dengan mereka atas nama rekonsilasi atau perdamaian kononnya.
Pun Anwar masih sabar lagi.
Apabila sesuatu keputusan dibuat parti, mereka turut menolaknya dengan kasar melalui kenyataan media, walhal mereka masih ponteng mesyuarat macam biasa, di sini juga Anwar tetap ada kesabaran yang sama.
Mereka bernaung di bawah PKR dan mendapat nikmat jawatan dalam kerajaan juga atas nama parti, tetapi dengan lancar dan celuparnya menolak Anwar sebagai bakal Perdana Menteri, meskipun perkara itu adalah persetujuan serta konsensus PH.
Ya…beliau sabar juga lagi.
Lalu, ramai yang bertanya, kenapa Anwar terlalu bersabar?
Apakah tindak-tanduk golongan penentangnya itu masih boleh dikira sebagai hak dalam memberi pandangan yang mesti dihormati?
Dan adakah dengan tersebarnya kemungkinan golongan penentangnya akan menganjurkan kongres berasingan di Kuala Lumpur dan memboikot Kongres Keadilan Nasional di MITC, Melaka 7 dan 8 Disember nanti, tahap kesabaran Anwar sudah sampai ke penghujungnya?
Apakah selepas kongres nanti atau melalui mandat perwakilan dalam kongres di MITC Melaka itu, sesuatu tindakan bakal menyusul terhadap golongan yang tidak dinafikan lagi mahu memberi gambaran PKR yang dipimpinnya sudah berpecah dan semakin lemah?
Itukah maksud sebenar dalam ucapan Anwar di Kuala Kangsar semalam dengan amaran agar “jangan uji kesabaran saya?” (ShahbudinHusin 04/12/2019)