Tempoh suram harga minyak sawit telah berlalu
Menjelang akhir 2019 harga sawit dijangka kembali pulih dan pekebun kecil yang tertekan sebelum ini dijangka akan menarik nafas lega.
Hal itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Aliasak Ambia. Pertubuhan itu yang mewakili beribu-ribu pekebun kelapa sawit menyuarakan keyakinan bahawa harga akan terus meningkat walaupun ia mencecah RM2,600 setan sekarang ini.
“Keadaan akan lebih baik,” katanya dipetik.
Semalam dilaporkan eksport minyak sawit meningkat 16.4% kepada 1.6 juta tan bulan lepas.
Aliasak memberitahu FMT, trend menaik dijangka berterusan dan permintaan dalam dan luar negara akan meningkat bagi penggunaan biodiesel berasaskan minyak kelapa sawit.
Beliau berkata pekebun kecil gembira dengan perkembangan tersebut. “Terdapat perbezaan besar dalam pendapatan mereka daripada apa yang berlaku awal tahun ini.”
Menurut Financial Times, kenaikan harga didorong oleh langkah Indonesia yang mahu menggunakan biodiesel B30 mulai Januari depan. B30 adalah campuran 70% diesel dan 30% biofuel.
laporan itu menyatakan Presiden Indonesia Joko Widodo menyatakan beliau mahu negaranya menggunakan campuran 50-50 (B50) menjelang akhir tahun 2020.
Di Malaysia, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berharap semua pihak bersedia menerima penggunaan bahan api biodiesel B20 menjelang tahun depan.
Pakar ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata penekanan Jakarta untuk menggunakan biodiesel adalah baik untuk Malaysia kerana ia bermakna Indonesia akan mempunyai kurang komoditi untuk dieksport.
Namun beliau juga berkata Malaysia tidak boleh “hanya berdiam diri” kerana Indonesia secara aktif mencari jalan untuk menghasilkan lebih banyak minyak sawit.
Beliau berkata kerajaan mesti meningkatkan usaha untuk menggalakkan penggabungan ladang kecil supaya dapat dijalankan seperti ladang besar dengan pengurusan profesional dan skala ekonomi yang lebih baik.
Mahathir baru-baru ini menggesa pekebun kecil menggabungkan pegangan mereka supaya mereka menjadi lebih mampan.
Beliau berkata jika 20 orang menggabungkan tanah mereka, mereka boleh menjadi pengarah dan mengupah profesional terlatih untuk menguruskan estet menggunakan teknik yang digunakan oleh ladang besar.