Pilihan raya negeri Perak palsu – SPR
Desas-desus kononnya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Perak berada dalam keadaan tidak stabil dan pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan pada bila-bila masa adalah tidak benar.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming ketika mengulas mengenai berita tular PRN akan diadakan susulan dakwaan beberapa Adun DAP menjadi Adun Bebas.
Hakikatnya tidak ada wakil DAP yang menjadi ADUN Bebas sebagaimana didakwa.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP negeri, Abdul Aziz Bari turut menolak dakyah tersebut. Jelasnya tidak ada alasan untuk membubarkan DUN Perak pada ketika ini.
“Di luar sana memang ramai nujum pak belalang. Sebelum ini pun saya dikatakan merancang undi tak percaya untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.
Dakyah mengenai PRN itu disebar pihak yang tidak senang dengan Kerajaan Negeri. Ia dibuat susulan sekeping surat bertarikh 23 Sept lepas daripada Jabatan Pendidikan Negeri kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan lawatan amal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di dalam negeri ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan spekulasi disebarkan itu.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun menjelaskan bahawa lawatan ke sekolah-sekolah merupakan urusan semakan yang dijalankan oleh SPR dari masa ke semasa.
“Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.
“Pelaksanaan urusan ini adalah selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958,” kata Azhar.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim pula berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan berikutan penularan perkara itu – RF8 Media