Amanah tegas peralihan kuasa Dr Mahathir – Anwar seperti dijanjikan
Parti Amanah Negara (AMANAH) tegas berpegang kepada perjanjian yang ditetapkan pada 7 Januari 2018 berhubung isu peralihan kuasa antara PM Tun Mahathir dan penggantinya Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, parti itu tidak akan sesekali mungkir pada konsensus HARAPAN sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang telah pun diterima dan diakui rakyat.
“AMANAH sebahagian daripada HARAPAN dan perjanjian pada waktu itu ialah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, dan jelas menyatakan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.
“Itu perjanjian yang masih utuh dan kita masih berpegang sehingga hari ini.
“Daripada segi tempoh masa (peralihan kuasa) pula terpulang kepada kebijaksanaan Majlis Presiden HARAPAN untuk berbincang dan memutuskan secara konsensus atas semangat HARAPAN,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian AMANAH mengenai pendirian Menteri Ekonomi Azmin Ali yang mahu Mahathir berkhidmat sehingga akhir penggal.
Azmin yang dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan baharu tanpa AMANAH dan DAP bersama beberapa individu lain dilihat seolah-olah mahu mengekang Anwar dari dilantik sebagai Perdana Menteri