Tiga anak Najib didakwa lari cukai RM61 juta
Sebelum tewas pilihan raya umum ke 14 tidak siapa menyangka anak-anak bekas PM Najib Razak, sama ada saudara kandung atau tiri mengumpul sedemikian banyak wang.
Namun kini terdedah anak-anak beliau kaya raya daripada hasil yang meragukan. Terbaharu seorang lagi anak Najib menerima writ saman yang menuntut sejumlah besar wang cukai belum dibayar.
Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) menuntut Mohamad Nizar, yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan menjelaskan RM13.1 juta dalam bentuk cukai yang belum dibayar.
Dengan perkembangan terbahru ini, Nizar menyertai bapanya, Najib serta adik-beradiknya, Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa yang masing-masing diperintah menjelaskan cukai yang belum dibayar sebanyak masing-masing RM1.69 bilion, RM37.6 juta dan RM10.3 juta.
Difahamkan, saman cukai terhadap Nizar itu difailkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) bagi pihak kerajaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Julai lalu.
Nizar dituduh gagal membayar RM764,228.07, RM1,624,985.74, RM1,592,904.17, RM530,066.52, RM1,215,490.78, RM1,908,897.91, dan RM3,757,212.10, sebagai penilaian cukai tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 , 2015, 2016, dan 2017.
Dia dikenakan denda 10 peratus daripada jumlah itu atas kegagalannya membayar balik cukai berkenaan dalam tempoh 30 hari setelah notis penilaian disampaikan di alamat terakhirnya di No 38, Jalan 4M, Ampang Jaya, Ampang, Selangor, pada 22 Mac tahun ini.
Atas kegagalan membayar dalam tempoh 60 hari, Nizar dikenakan denda sebanyak lima peratus lagi, menjadikan jumlah cukai yang terhutang kepada RM13,159,821.94
Kerajaan, yang merupakan plaintif dalam kes itu, juga memohon faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas jumlah berkenaan, bermula dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian, serta kos dan sebarang bayaran lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Secara keseluruhannya, kesemua anak bekas perdana menteri itu dianggarkan telah mengelak cukai sebanyak RM61 juta, manakala Najib sendiri sebanyak RM1.69 bilion. – RF8 Media