Piagam Muafakat Nasional: Islam tidak lagi memimpin?
Piagam Muafakat Nasional yang diuar-uarkan oleh Pas kepada penyokong mereka seolah-olah Umno mengharapkan talian hayat daripada parti itu tidak menjadi kenyataan.
Sebaik sahaja piagam dimeterai, isu kandungannya yang tidak jauh berbeza daripada dasar Pakatan Harapan (PH) serta menggugurkan perjuangan melaksanakan hukum hudud dan negara Islam mengecewakan penyokong Pas
Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang berkata, piagam itu jelas memperlihatkan dominasi Umno dan Pas terpaksa mengikut kehendak parti sekular berkenaan.
Katanya, konsep politik Pas selama ini, iaitu ‘Islam memimpin’ sudah tidak relevan untuk dislogankan selepas 14 September.
“Sekarang kelihatan Umno yang memimpin muafakat nasional. Sebelum ini yang dikatakan Pas memimpin dalam slogan dia sudah tidak boleh dipakai,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Selain itu, menurut Ahmad muafakat juga tidak membawa agenda perjuangan Melayu dan Islam sebenar
Katanya, kandungan piagam tidak menyentuh sama sekali agenda memperkasakan Melayu yang penting misalnya soal pembangunan ekonomi.
“Muafakat ini politik semata-mata. Tidak ada di dalamnya agenda perjuangan untuk Melayu atau Islam sebenar-benarnya. Kalau Melayu mestilah sentuh hal ekonomi, pembangunan.
“Ini yang dibariskan semua berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang kita semua memang pegang,” katanya lagi.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perak lima penggal itu berkata, piagam seolah-olah dokumen umum dan tidak ada agenda jelas melainkan untuk memenangi pilihan raya.
Selain itu, Ahmad mencabar Umno dan Pas sekiranya jujur mahu perpaduan ummah agar tidak memusuhi parti-parti orang Melayu lain seperti Bersatu dan Amanah.
“Muafakat ummah semua temberang kerana mereka tetap memusuhi lawan terutamanya Parti Amanah Negara,” katanya dan menegaskan Pas-Umno memperalatkan agama, kaum dan bangsa demi meraih sokongan menghadapi pilihan raya umum akan datang. – RF8 Media