UMNO Sabah hilang sokongan, pemimpin hidapi ‘sindrom penafian’
Tindakan pemimpin UMNO yang enggan mengakui bahawa parti itu semakin hilang sokongan di Sabah membuktikan mereka sedang terperangkap dalam sindrom penafian.
Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, kenyataan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang mendakwa parti itu masih mendapat sokongan kuat rakyat Sabah adalah tidak benar.
Mereka jelasnya, seolah-olah enggan berpijak di bumi nyata dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di peringkat bawah.
“Mereka (pemimpin UMNO) seolah-olah begitu yakin masih ramai ahlinya di Sabah yang setia.
“Sebenarnya tidak ramai ahli UMNO Sabah yang tinggal selepas gelombang penghijrahan. Ramai sebenarnya sudah meninggalkan parti itu dan menyertai BERSATU Sabah.
“Mereka sepatutnya buat pemeriksaan dan pemutihan menyeluruh,”katanya dalam kenyataan.
Ketua Pimpinan BERSATU Sabah itu sebelumnya merujuk kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob mengenai kekuatan UMNO yang didakwa semakin meningkat di negeri itu.
Sementara itu tambah Hajiji, bukti nyata bahawa UMNO tidak lagi mendapat sokongan dapat dilihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Mei lalu.
UMNO yang mendakwa mempunyai 9,000 ahli di kawasan itu gagal membantu calon pembangkang daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Rakyat dan ahli UMNO tidak lagi percaya dengan kepemimpinan UMNO sedia ada, mereka kini tahu dan sedar bahawa pemimpin parti itu banyak melakukan kesilapan seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” tambah ADUN Sulam itu lagi. – RF8 Media