Tun Mahathir Mohamad sekali lagi, kali ini di Bangkok, mengulangi janjinya akan tetap menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, Anwar Ibrahim.
Rasanya setakat ini, tak kira di dalam dan di luar negara, sudah hampir 15 kali beliau mengulangi janji yang sama.
Walaupun masih tidak menetapkan tarikh berhubung peralihan kuasa itu, Tun Mahathir menegaskan, beliau akan tetap berpegang teguh kepada janji itu.
Bagaimanapun, seperti meminta difahami bahawa tugasnya masih belum selesai, Perdana Menteri berkata, beliau mahu mengurangkan masalah beban hutang negara terlebih dahulu.
“Yang pastinya saya tidak akan berlalu meninggalkan (kepemimpinan) negara ini dalam keadaan berantakan seperti yang dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini.
“Jadi, saya sedang bekerja keras untuk negara, sedaya upaya, dan diharapkan kita akan dapat membetulkan keadaan dan menyelesaikan semua masalah yang kita warisi (dari kerajaan sebelum ini,” katanya lagi.
Berkenaan sama ada Anwar sudah bersedia atau tidak untuk menjadi penggantinya, Tun Mahathir menambah, itu bukan persoalannya.
“Ia bukan soal sama ada beliau sudah bersedia atau tidak.
“Saya sudah berjanji, dan saya akan berpegang teguh kepada janji saya,” tegas Tun Mahathir.
Dengan janji yang diperteguhkan sekali lagi ini, semua pihak tidak seharusnya ada sebarang keraguan berhubung peralihan kuasa kepada Anwar.
Ia bukan saja berkaitan janji yang mesti ditepati, tetapi juga untuk memastikan PH terus kukuh serta mampu mentadbir negara ini dengan lebih lama lagi.
Tun Mahathir sendiri nampaknya sedar realiti itu. Apabila beliau mengulangi janji yang sudah terpatri itu, semuanya akan jadi normal dan disambut baik.
Tetapi, apabila kenyataannya dilihat kabur dan boleh ditafsirkan macam-macam, maka akan timbullah pergolakan dan pergeseran di sana sini.
Dengan itu, jalan terbaik ialah Tun Mahathir mesti terus dan sentiasa konsisten serta komited dengan janji tersebut.
Dengan masa makin berlalu, di bulan-bulan seterusnya nanti, adalah lebih cantik jika Tun Mahathir, selain mengulangi janji yang sama, beliau dapat mengumumkan sekali tarikh muktamad pengundurannya untuk Anwar mengambil alih tempatnya.
Habis cerita!
PH pun akan terus stabil dan tiada apa-apa lagi yang boleh menghalangnya daripada terus dijadikan pilihan rakyat untuk mentadbir negara ini. (Shahbudindotcom 22/06/2019)