Najib yang kecut gagal hadir “Nothing to Hide”
NAJIB Razak sebenarnya yang sudah hilang kredibiliti selepas tidak hadir dua sesi “Nothing to Hide” malah cuba meninggalkan wawancara Al-Jazeera sebelum ini, kata veteran DAP Lim Kit Siang hari ini.
Dalam serangan balas kepada kecaman dilontar Najib kepadanya semalam, Lim berkata Najib hanya mahu memastikan rakyat Malaysia lupa akan kejadian Julai 2015 apabila beliau mendiamkan pengkritik dan menutup siasatan wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaunnya.
“Semalam Najib kata yang saya ‘hilang semua kredibiliti’ selepas menolak (pelawaan) berdebat dengannya.
“Ikut logik itu, Najib sudah hilang hak untuk buka mulut bercakap sepatah perkataan pun kerana beliau sudah lebih ‘hilang semua kredibiliti’ kerana melarikan diri daripada dua konfrontasi ‘Nothing to Hide’ bersama Dr Mahathir Mohamad tentang skandal 1MDB.
“(Beliau juga) memalukan diri di peringkat antarabangsa apabila ‘kecut perut’ (membatalkan) untuk menyampaikan ucap tama Persidangan Antarabangsa Anti Korupsi ke-16 (IACC) di Putrajaya pada September 2015 dan cubaan meninggalkan wawancara Al Jazeera bersama Mary Ann Jolley pada Oktober tahun lepas,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.
Dua sesi “Nothing to Hide” dirujuk Lim berlaku pada Jun 2015 dan Ogos 2017, yang dirancang supaya Najib mempunyai ruang menjawab semua tuduhan berbangkit ke atasnya berkaitan skandal kleptokrasi 1MDB.
Tambahnya lagi, bertentangan dengan dakwaan Najib yang beliau sudah hilang kredibiliti, keenganannya untuk berdebat dengan Najib menerima banyak sokongan rakyat.
“Malah sebenarnya, saya nak tengok dia cakap banyak lagi, kerana lebih baik guna ayatnya sendiri untuk kecam dan ‘tanam’ (diamkan) dia.”
Lim juga mencabar Najib supaya menyerah diri untuk disiasat polis kerana “memperlekeh demokrasi berparlimen” pada Julai 2015 apabila menyerang institusi negara yang sepatutnya bebas.
Jelasnya, masih ramai rakyat Malaysia tidak faham tentang peristiwa penting itu, yang menyebabkan peguam negara ketika itu Abdul Gani Patail yang dikatakan sedang menyediakan kertas pertuduhan ke atas Najib diganti Apandi Ali. Apandi seterusnya “membersihkan dan melepaskan” Najib daripada semua pertuduhan korupsi RM2.6 bilion.
Malah, serangan Najib terhadap institusi negara pada Julai 2015 juga menyebabkan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal dipecat daripada Kabinet dan Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Serangan itu berlanjutan sehingga menyentuh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang ketika itu sedang menyiasat skandal1MDB- pengerusinya diganti, wakil Umno dalam PAC yang lantang bersuara mendesak siasatan berjalan diberi jawatan menteri menyebabkan mereka berdiam diri selepas itu.
Malah, serangan Julai 2015 mencapai kemuncak apabila pasukan petugas khas pelbagai agensi yang menyiasat “derma RM2.6 bilion” dibubarkan, manakala dua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan timbalan pengarah Cawangan Khas ketika itu Abdul Hamid Bador- kini ketua polis negara- pula dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) tanpa sebarang penjawatan khusus.
“Adakah ini semua untuk membantu Najib mengelak pendakwaan korupsi dan salah guna kuasa?” tanya Lim.
“Rakyat Malaysia berhak untuk tahu.”
Selepas Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya pada pilihan raya Mei 2018, siasatan skandal 1MDB dibuka kembali dan Najib kini sedang didakwa atas pelbagai pertuduhan jenayah korupsi, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitannya