Rakyat percaya hanya Anwar Ibrahim mampu turunkan kos hidup
Menjelang setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan berbaki setahun lagi sebelum PM Tun Mahathir mengundurkan diri, rakyat menaruh keyakinan hanya bakal PM Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berjaya menurunkan kos sara hidup.
Hal ini kerana pada pendapat mereka pentadbiran Mahathir bersifat sementara dan hanya menumpukan pemulihan ekonomi dan mendakwa pengamal korupsi ke mahkamah.
Sebaiknya, Anwar yang akan menempuh pilihan raya umum ke 15 pastinya akan memperbaiki ekonomi rakyat sebagaimana yang sering disuarakannya di Parlimen sebelum ini.
Bagi pemandu teksi berusia 39 tahun, Ramli yang menetap di Segambut, Kuala Lumpur kekalahan PH pada pilihan raya kecil Cameron Highlands Januari lalu jelas disebabkan keresahan rakyat berikutan bebanan hidup yang meningkat biar pun PH berjanji menurunkannya sebelum PRU 14 lalu.
“Pandangan saya PH kalah dalam Pilihanraya Kecil Cameron Highlands ialah kerana isu kos sara hidup. Oleh sebab kos sara hidup meningkat maka isu perkauman pula dapat digunakan oleh pihak lawan untuk memancing undi.
“Kerajaan PH harus ingat bahawa penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah memainkan peranan yang besar menumbangkan BN. Justeru, apabila kos sara hidup tinggi, semua lapisan masyarakat marah terhadap PH.
“Bagi saya kalau rakyat biasa terus bergelut dengan harga barangan yang tinggi, maka BN akan gunakan faktor ini untuk meraih undi masyarakat Melayu.
“Jika kos sara hidup dapat dikawal dengan baik, saya yakin masyarakat Melayu tidak akan pandang BN. Saya sebagai pemandu teksi memang bersembang dengan penumpang saya dan semua penumpang dari semua golongan di Malaysia menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap kos sara hidup yang masih terus meningkat.
“Bagaimanapun menurut mereka harapan kini terletak kepada Anwar yang akan menjadi PM tahun depan dan memperbaharui dasar ekonomi negara,” kata Ramli