Pra-PRK Semenyih: Ada Cina bodoh?
Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih akan diadakan pada 2 Mac 2019. DUN Semenyih merupakan kawasan majoriti Melayu (lebih 65% Melayu). Bagaimanapun penentu kemenangan adalah kaum Cina (15%) dan India (17%).
Menurut penganalisis politik, pasca PRK Cameron Highlands, kaum Cina mula tidak menghiraukan pilihan raya dan membiarkan kaum Melayu yang rata-rata pro BN dan Pas menguasai gelanggang. Hal itu, menurut mereka akan merugikan Cina sekiranya BN kembali berkuasa dan mengamalkan polisi penindasan berasaskan kaum sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.
Seorang pengundi Cina yang mahu dikenali sebagai Uncle Choy, 80 tahun, mengulas fenomena itu sebagai ‘Cina Bodoh’ yang akan merugikan etnik itu pada masa akan datang.
Katanya, kalau masyarakat Cina dan India tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dengan sepenuhnya maka kekalahan PH di PRU15 adalah satu perkara yang tidak mustahil.
“Oleh kerana keadaan ekonomi negara masih lembab, masyarakat Cina memang tidak berapa gembira dengan Kerajaan PH walaupun sudah diberitahu 1,001 kali Kerajaan PH memerlukan masa 2 atau 3 tahun untuk mengembalikan ekonomi kepada keadaan yang kuat dan kukuh.
“Juga orang yang didakwa dalam skandal 1MDB masih dibiarkan berceramah di sana-sini juga adalah perkara yang membuatkan masyarakat Cina marah dan hilang keyakinan terhadap Kerajaan PH. Namun ada orang ‘Cina bodoh’ dan tidak keluar mengundi di Cameron Highlands.
“Kalau pendirian ini diambil dalam PRU15 nanti, sudah pasti PH akan ditewaskan oleh BN apabila orang Melayu keluar beramai-ramai untuk mengundi sementara undi untuk PH dari masyarakat Cina dan India sudah berkurangan.
“Kerajaan PH perlu menegaskan kepada rakyat bahawa kalau sokongan tidak diberi kepada PH maka negara Malaysia akan ketinggalan jauh di belakang dan ini akan merugikan semua pihak termasuk masyarakat Melayu,” kata Choy yang menetap di Kepong, Kuala Lumpur.
Uncle Choy menambah, BN sudah tiada kredibiliti di pentas antarabangsa sebab pemimpin-pemimpinnya dilabel sebagai ‘pencuri’. Oleh itu, jika BN menang PRU15 maka Malaysia pasti akan dipulau oleh masyarakat antarabangsa.
“PH tidak cukup undi dari masyarakat Melayu dan ini amat merbahaya jika masyarakat Cina dan India juga menarik-balik sokongan mereka.
“Berkaitan undi Melayu, Kerajaan PH harus mewujudkan satu jawatankuasa khas hal-ehwal komunikasi buat mereka bagi memberitahu manfaat yang boleh diperolehi sekiranya PH terus mentadbir negara.
“Buat masa ini, belum ada usaha secara besar-besaran untuk mencelikkan minda Melayu berkenaan senario politik negara. Harus ditekankan kepada mereka kalau sentimen perkauman dimainkan oleh pihak lawan maka semua orang di Malaysia akan rugi apabila ekonomi negara gagal dibaikpulih.
“Kos sara hidup akan terus meningkat apabila ekonomi lemah dan ini semua adalah akibat kegagalan mantan Kerajaan BN. Kalau ini tidak diberi penekanan kepada masyarakat Melayu, mereka akan terus menuduh PH untuk segala masalah negara dan bukan itu sahaja, mereka akan terus menyokong Umno-BN,” katanya lagi.