Gagal ‘refund’ GST punca barang tidak turun walau GST 0%
Ketirisan tabung amanah pembayaran-balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion amat menjejaskan perniagaan.
Pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng itu disekalikan dengan pengumuman bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiada wang untuk pembayaran balik seterusnya kerana baki yang tinggal hanyalah RM1.486 bilion akibat terlalu banyak wang dibazirkan oleh kerajaan terdahulu.
Mengulas hal itu, Exco Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, pendedahan Menteri Kewangan merupakan bukti nyata ekonomi telah dirosakkan oleh rejim BN dan itulah penyebab kenaikan harga barang dan muflisnya perniagaan sepanjang 3 tahun lalu.
“Mantan kerajaan BN telah merosakkan ekonomi negara. Disebabkan pengurusan GST yang tempang, banyak kilang ditutup dan pelabur asing lari.
“Jika PH kalah pada 9 Mei lalu maka Malaysia tentu sudah muflis hari ini. Juga disebabkan oleh GST yang gagal diuruskan dengan sempurna banyak kilang-kilang saiz sederhana (pekerja seramai 30 hingga 50 orang) sedang mengalami kesusahan.
“Ada yang sudah berpindah ke negara jiran mengakibatkan ramai rakyat kita menjadi penganggur,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Nizar menambah, walaupun kerajaan PH sedang berusaha sedaya-upaya untuk memperbetulkan keadaan, situasi masih kritikal dan oleh sebab itulah kerajaan PH belum lagi boleh menurunkan harga minyak dan mengembalikan subsidi untuk barang keperluan asas.
Menurut Nizar, ramai di antara peniaga kecil dan peruncit merungut harga barang tidak turun dengan banyak walaupun sudah tiada GST tetapi ini semua adalah kerana ekonomi negara belum dibaikpulih.
“Pemimpin-pemimpin BN termasuk mantan Perdana Menteri, Najib Razak seringkali menggesa Kerajaan PH supaya jangan menuduh Pentadbiran BN merosakkan ekonomi negara tetapi kalau bukan BN yang berbuat demikian, siapa lagi? Makhluk asing ke?” sinisnya.