Pak Samad dibawa ke DBP lancar gerakan seni
Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said berkata Menteri Pendidikan Maszlee Malik membawanya ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melancarkan gerakan seni.
Samad berkata dia diminta mengadakan kerjasama budaya dengan DBP dan tiada jawatan dijanjikan kepadanya.
“Saya fikir antara yang terpenting adalah gerakan seni termasuk penerbitan buku dan ceramah. Maszlee cuba membawa saya sedikit demi sedikit kepada arus itu,” katanya ketika dihubungi FMT.
Semalam, Maszlee dalam kenyataan berkata dia dalam usaha memulihkan kedudukan para sasterawan negara dan mempromosikan karya-karya mereka kepada generasi muda, selepas lama “tidak diberi perhatian” antaranya kerana lantang mengkritik pemerintah.
Maszlee pada 12 Julai lalu mengumumkan “Dekad Bahasa Kebangsaan” bagi melakar pelan komprehensif menjadikan Bahasa Melayu bahasa pilihan utama. Rancangan ini termasuk dalam agenda mengangkat DBP setaraf badan bahasa dunia lain seperti British Council.
“Antaranya yang barangkali sedang difikirkan ialah menerbitkan semula buku-buku klasik daripada sasterawan-sasterawan negara,” kata Samad tentang rancangan Maszlee.
“Jadi mungkin hasil cipta sasterawan negara itu akan diulang cerita semula dalam bentuk yang lebih bermaruah dan disalurkan ke sekolah-sekolah,” katanya.
Samad, seorang penulis dan penyajak yang terkenal dengan karya seperti Salina dan Hujan Pagi, terheret ke dunia politik selepas menunjuk perasaan untuk Bahasa Melayu dalam himpunan membantah Program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.
Beliau menjadi pengerusi bersama gerakan reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 pada 2011, dan menyertai DAP pada 2015.
Samad menyusuli sasterawan Datuk Shahnon Ahmad, yang bertanding di Parlimen Sik pada 1999 atas tiket PAS menentang gabungan pemerintah ketika itu, Barisan Nasional.
Sementara itu, Samad berkata antara buku yang wajar diberi perhatian ialah buku Rimba Harapan yang ditulis sasterawan Kamaluddin Muhamad, yang juga aktivis Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
“Buku-buku klasik macam ini tidak terdedah lagi oleh kerana sudah tidak ada, jadi angkatan muda tidak mengetahui tentangnya,” katanya.