Kenyataan bodoh: Umno belum mahir jadi pembangkang
Selepas 70 hari menjadi pembangkang, pemimpin-pemimpin Umno nampaknya belum belajar menjadi pembangkang yang baik.
Kebanyakan mereka sama ada melakukan aksi provokasi atau membuat beberapa kenyataan bodoh seolah-olah BN masih berkuasa dan rakyat terpaksa menerima apa sahaja yang berlaku.
Peristiwa keluar Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu menjadi tanda awal tidak matangnya pemimpin Umno berpolitik. Walaupun mereka memberi alasan ‘walkout’ itu dilakukan untuk bertemu pihak media dan membuat sidang media.
Manakala mereka menterjemahkan titah Baginda Yang DiPertuan Agong ‘Sila duduk, jangan lari’ membawa maksud ‘jangan lari daripada parti’.
Selain itu, serangan pemimpin Pemuda Umno Razlan Rafii dalam tweetnya berbunyi: “Matinya seorang yang suka Fitnah dan hati busuk kepada Rakyat Malaysia!!! Kurang lagi kaki Fitnah! Aman Malaysia!! RIP” terhadap mendiang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Eddie Ng mengundang kemarahan rakyat Malaysia dan menunjukkan keangkuhan yang melampau.
Mengulas isu tersebut, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ahli Umno dan Pas mencipta publisiti buruk untuk parti mereka terutama dalam sidang Dewan Rakyat kerana persidangan itu disaksikan secara langsung di TV1 dan seluruh pengundi yang memilih mereka boleh melihatnya.
“Juga sudah pasti Ahli-ahli Parlimen dari Umno dan Pas rasa terpukul dengan titah Yang DiPertuan Agong kerana tindakan mereka yang keluar Dewan itu amat memalukan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Ahli parlimen Pokok Sena itu menambah, serangan Razlan ke atas mendiang Eddie Ng pula bukan sahaja bodoh tetapi melanggar adab dan akhlak Islam yang mewajibkan penganutnya menghormati jenazah walaupun berbeza agama, bangsa dan fahaman politik.
“Umno hari ini patut tahu bahawa satu daripada sebab mengapa mereka kalah dalam pilihanraya umum yang lalu ialah kerana sikap mereka yang angkuh, sombong dan bongkak,” kata Mahfuz lagi.