Anwar sokong peranan Jakim dikaji dan ditambah baik
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap cadangan kerajaan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).
Bagaimanapun, beliau berkata langkah itu hanya bertujuan untuk mengatasi peranan berlebihan agensi itu pada masa yang lalu.
Dalam temu bual dengan The Star, Anwar memberikan contoh pembabitan pegawai kanan Jakim dalam kempen pilihan raya dan bajetnya yang berjumlah RM1 bilion, yang digambarkan sebagai “terlalu besar”.
“Jika tujuan (Jakim) adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai murtad, saya setuju.
“Tetapi sekarang orang ramai membangkitkan isu bahawa soal (pensijilan) halal pun, ada (peranan Jakim) yang berlebihan,” katanya.
Anwar juga dipetik sebagai berkata beliau telah bertemu wakil dari beberapa syarikat pembuatan makanan tempatan yang dikendalikan oleh orang bukan Islam yang tidak mempunyai bantahan berhubung keperluan pengesahan sijil halal, tetapi mengadu mengenai kos yang terlibat.
“Tujuan (pensijilan halal) adalah baik, dan pelaksanaannya (oleh Jakim) diperlukan, tetapi tidak perlu berlebihan,” tegasnya.
Selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet Rabu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk mengkaji semula peranan Jakim.
Mahathir sebelum ini mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa untuk menilai agensi itu, dengan tujuan memastikan Islam tidak digambarkan sebagai “agama yang kejam dan tidak konsisten.”
Pengumuman itu mendapat kritikan pelbagai pihak, tetapi disokong daripada kumpulan lain, seperti G25