Jika PRU September, Amanah Perak yakin beri cabaran sengit – Ir Nizar
Parti Amanah Negara negeri Perak yakin akan memberi cabaran sengit kepada BN dan Pas dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, gabungan Pakatan Harapan di negeri itu kini semakin mantap dan bertambah keahliannya menjelang tarikh PRU yang dijangkakan seawal September ini atau pun pada tahun 2018.
“Di Perak, parti-parti komponen PH semakin mendapat sokongan rakyat terutamanya PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Amanah.
“Justeru itu, kalau PRU14 jatuh pada bulan September ini, kami yakin akan dapat menunjukkan prestasi baik. Tinjauan saya dalam kalangan rakyat mendapati mereka sudah bosan dengan lakonan dan retorik pemimpin BN,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering.
Sehubungan itu, Nizar menegaskan rakyat Perak tidak sabar menunggu PRU14 dan berharap kerajaan negeri akan berganti kepada PH selepas PRU tersebut mengulangi prestasi pembangkang pada 2008.
“Di Perak dan Kedah, PH diakui sedang mendapat momentum sokongan dari rakyat. Mereka ini berpendapat kerajaan BN masih belum mampu mengawal kos sara hidup yang meningkat.
“Oleh itu kita di pihak Amanah sedang bekerja keras untuk mendekati rakyat bagi mendengar luahan hati mereka di samping mencelikkan minda mereka dalam isu-isu nasional dan harian,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, seorang ahli DAP Ipoh Barat, Jason Ong, 24, memberitahu Suara pakatan daily bahawa BN sedang menyerang PH secara moral dengan mengetengahkan analisis kononnya PH tidak akan mampu meraih lebih 60 kerusi Parlimen dalam PRU 14.
“Mungkin ini adalah propaganda pihak lawan untuk mengendurkan semangat kami.
“Namun kami yakin sokongan padu dari semua golongan masyarakat akan membantu PH memenangi lebih banyak kerusi kali ini berbanding dengan PRU 13.
“Yang penting sekarang PH perlu mencelikkan minda rakyat dalam masa beberapa bulan akan datang kerana saya percaya Parlimen akan dibubarkan pada awal bulan September,” katanya.