RUU355: Takiyuddin tak perlu ‘syok sendiri’, Parlimen bukan sistem barter




m_kulasegaran-e1459240763289
KUALA LUMPUR, 29 NOV: Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan ditegur supaya faham dan tidak mempolitikkan Akta 164 – Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) dengan RUU355 yang diusulkan Presiden PAS.
Ini kerana dua usul tersebut adalah berbeza dan kerajaan telahpun memulakan perbincangan berkenaan penukaran unilateral sejak tahun 2005.
Kerajaan juga telahpun menubuhkan tiga jawatankuasa bagi membincang dan meneliti pembaharuan akta itu.
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat M.Kula Segaran, pembaharuan Akta 164 ini turut diterima baik Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam sendiri dan perlu disegerakan.
Beliau justeru mahu supaya Setiausaha Agung PAS itu tidak ‘syok sendiri’ mengganggap dirinya sebagai wakil dan suara kepada Ahli-ahli Parlimen muslim yang lain.
Kenyataan ini dibuat setelah Takiyuddin mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mengugut bahawa “orang Islam tidak akan bersetuju dengan pembaharuan undang-undang” tersebut jika RUU355 terus dibantah dan diperdebatkan.
“Saya terkejut dengan Takiyuddin yang tidak sedar bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk melakukan ‘sistem barter dan Ahli Parlimen mewakili dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira agama, kaum mahupun status ekonomi.
“Pembaharuan Akta 164 ini akan menjamin saudara baru bersungguh-sungguh menerima Islam dan bukannya menggunakan Islam sekadar platform untuk mengelakkan tanggungjawab mereka,” jelasnya.
Tindakan beliau mempolitikkan pembaharuan Akta 164 itu kata Kula hanya menonjolkan keterdesakan PAS meneruskan hayatnya.
Hakikatnya, nasib RUU355 masih dalam keadaan yang sangat samar dan jauh berbeza dengan konteks dan keperluan mendesak pembaharuan akta perkahwinan dan penceraian tersebut khususnya berkaitan hak penjagaan anak seperti dalam kes Indira Ghandi. –