PRN Sarawak: ‘Ada gelombang perubahan, tidak pasti pertambahan kerusi PH’
Kempen PRN Sarawak menuju detik utama pada tengah malam ini. Bagi parti-parti yang bertanding, kemenangan atau kekalahan telah dirasakan. Bilik gerakan utama telah pun menyediakan kertas culaan sokongan dan biasanya sokongan pada hari mengundi esok tidak jauh daripada ramalan.
Di sebalik kehebatan BN menjaja projek. Memberi rasuah dalam bentuk wang tunai, tangki air dan tidak kurang ratusan juta peruntukan pembinaan kemudahan sekolah serta klinik dan jalan raya, rakyat Sarawak di beberapa DUN nampaknya telah muak dengan politik janji-janji manis sebegitu.
Hal ini tidak disedari pada awal kempen BN tetapi semakin kuat gelombangnya menuju hari mengundi. BN terpaksa mengklasifikasikan semula kawasan putih, hitam dan kelabu mereka.
Kelabu jadi hitam
Mislanya, DUN Serembu dijadikan kawasan hitam dua hari sebelum mengundi dan diramal akan jatuh ke tangan PKR. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku selepas strategi rapi BN untuk merampas kerusi yang dimenangi DAP serta PKR diatur.
Larangan masuk ke atas pimpinan utama pembangkang dari Semenanjung dilakukan atas strategi mengelakkan gelombang ceramah pemimpin utama mempengaruhi pertimbangan pengundi pada saat akhir sebagaimana PRN 2011 lalu.
Namun dengan menyekat berpuluh-puluh pemimpin pembangkang ternyata rakyat Sarawak sendiri mahu beralih mengundi parti pembangkang.
Adenan dilihat terlambat dalam sesetengah langkah. Janji yang dibuat BN pada PRN 2011 lalu tidak disedari beliau terlalu banyak dan tidak mampu ditunaikannya sepanjang 3 tahun memegang jawatan Ketua Menteri.
Kesilapan BN di kebanyakan DUN adalah mengulangi janji yang sama. Misalnya janji membina klinik kesihatan di DUN Tasik Biru telah dilakukan sejak PRN 2006 dan terus dijanjikan sehingga ke hari ini. Kepantasan penggunaan internet dalam kalangan penduduk Cina dan Melayu dalam 5 tahun kebelakangan ini menjadi cabaran besar bagi BN.
Penduduk mula belajar bersikap sinis sebagaimana pengundi di Semenanjung pada dua pilihan raya umum (PRU) lalu. Banyak kawasan campuran di Semenanjung dilanda gelombang ‘tolak janji BN’. Akibatnya, pembangkang menang banyak kerusi di Kedah, Perak, Selangor, Kelantan, Pulau Pinang malah kubu kuat Umno di Johor.
Bagi penganalisis politik, sekiranya berlaku gelombang mirip PRU 2008 atau 2013 di Sarawak maka tidak mustahil DAP boleh menang sehingga 20 – 25 kerusi, PKR 8 – 10 dan Amanah sekurang-kurangnya 1 kerusi.
Seorang pemimpin Amanah yang melihat senario kempen partinya di Sarawak berkata ceramah mereka lebih banyak dihadiri orang Melayu berbanding ketika mereka di dalam Pas dahulu.
“Di sesetengah kawasan ceramah Amanah dalam kempen kali ini hadirinnya lebih ramai berbanding ceramah di Semenanjung,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Beri wang
Fenomena itu juga turut diakui oleh wartawan yang membuat liputan di sana. Malah wartawan bersimpati dengan pertindihan kerusi di 6 DUN. Menurut mereka kebangkitan rakyat di 3 daripada enam kerusi itu menyamai kebangkitan PRU 2008.
Rakyat tidak segan silu menaikkan bendera PKR atau DAP di rumah mereka dan sibuk menyambut pemimpin-pemimpin pembangkang yang datang melawat. Suasana yang tidak pernah kelihatan dalam PRN 2006 atau 2011.
“Batu Kitang, Simunjan dan Mambong boleh jatuh ke tangan pembangkang kalau tidak bertembung,” kata seorang wartawan yang bekerja dengan media rasmi PKR.
Para penganalisis juga menganggarkan akan berlaku gelombang kebangkitan kali ini. Cuma cara pengundi menyembunyikan sokongan menyebabkan mereka sukar meramalkan apakah kebangkitan itu dalam masyarakat Cina, Melayu atau Dayak.
Bagaimanapun semua penganalisis politik Sarawak setuju taktik memberi wang pada saat akhir sebelum pilihan raya akan menjadi penentu utama pemenang, sebagaimana PRN yang lepas.