Jawapan Kerajaan kepada SUHAKAM: Pemansuhan permit perhimpunan bukan keputusan tepat

Jawapan Kerajaan kepada SUHAKAM: Pemansuhan permit perhimpunan bukan keputusan tepat

MerdekaReview | Aug 12, 2011 01:04:49 pm

"Keamanan, ketenteraman dan keselamatan" menjadi alasan kerajaan untuk menolak cadangan SUHAKAM agar permit perhimpunan dimansuhkan.

"Permit Perhimpunan seperti mana yang disyaratkan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 merupakan satu bentuk kawalan dan mengelakkan berlakunya perkara yang memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Maka pemansuhan permit perhimpunan bukanlah satu keputusan yang tepat kerana perhimpunan tanpa kawalan dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam di sesuatu kawasan.

Kerajaan telah mengkaji dari segi dasar dan mendapati keperluan untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam maka peruntukan undang-undang sewajarnya dikekalkan
."

Demikianlah maklum balas kerajaan persekutuan terhadap Laporan Tahunan SUHAKAM 2010, ketika mengulas isu kebebasan berhimpun. SUHAKAM menyeru pemansuhan subseksyen (2), (2A)-(2D), (4), (4A), (5), (5A)-(5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967 dan mengesyorkan agar polis menggunakan cara yang sederhana dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan sesuatu perhimpunan.

Dalam laporan tersebut, SUHAKAM dengan tegasnya mengulangi pendirian bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyertai perhimpunan aman sebagaimana dijamin Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan berhimpun juga dijamin di bawah Artikel 20(1) UDHR.

Namun, kerajaan persekutuan memberi jawapannya, "Buat masa sekarang, Kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan subseksyen (2), (2A)-(2D), (4), (4A), (5), (5A)-(5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967. Walau bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk membuat pindaan pada peruntukan-peruntukan tertentu yang terdapat dalam seksyen 27 Akta Polis bagi mengharmonikannya dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan."

"Walaupun Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman namun menurut Perkara 10(2)(b), undang-undang sekatan boleh diperkenalkan sekiranya hak tersebut disalah guna dan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, contohnya, perhimpunan yang menyebabkan berlakunya keganasan seperti pergaduhan, keganasan, menghalang lalu lintas di jalan raya dan sebagainya."

Kerajaan menambah, "Seksyen 27 dan 27A Akta Polis 1967 merupakan antara undang-undang sekatan yang diperkenalkan bagi memastikan hak tersebut tidak disalah guna oleh individu atau kumpulan individu dan sekali gus dapat menjamin keselamatan dan ketenteraman awam."

No comments: