BOLEHKAH ANWAR JADI PM SEPENGGAL LAGI?



 Shahbudin Husin


BOLEHKAH ANWAR JADI PM SEPENGGAL LAGI?

24 April 2026

Sejak kebelakangan ini didapati banyak laman di media sosial yang cuba mengadakan poll atau tinjauan pendapat berkenaan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.
Dalam kebanyakan tinjauan pendapat yang diadakan itu, hasilnya didapati bercampur-campur dengan ada yang setuju dan ada juga yang tidak bersetuju.
Saya tidak bermaksud untuk mengulas lanjut tentang pendapat mana yang lebih banyak kerana ia hak masing-masing berbuat demikian.
Memberikan pendapat atau hujah sama ada Anwar boleh kekal atau tidak sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua sebenarnya adalah isu kedua penting, manakala isu pokok atau terpenting sekali ialah sama ada PKR masih boleh menang atau tidak pada PRU16 akan datang?
Dalam PRU akan datang, kemampuan PKR untuk menang adalah cabaran utama buat Anwar.
Sekurang-kurangnya dua isu besar menjadi hambatan buat PKR untuk memperolehi kemenangan yang signifikan bagi membolehkan kekal sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.
Pertama, Anwar kini berada dalam kedudukan menurun di hati rakyat berbanding ketika PRU15 yang lalu.
Penurunan itu paling besar adalah disebabkan prestasi dan imej Anwar sendiri setelah beliau bergelar Perdana Menteri.
Banyak pihak, termasuk makcik-makcik di kampung tidak lagi meletakkan Anwar di hati mereka ketika ini kerana banyak janji yang diucapkan sebelum ada kuasa masih gagal ditunaikan setelah kuasa kini berada dalam genggamannya.
Alasannya menolak untuk menunaikan janji-janji itu pula kadangkala dilihat remeh, walhal ketika belum ada kuasa dahulu, beliau seolah-olah mampu “langgar” apa saja halangan demi mendapatkan undi daripada rakyat.
Video-video lama berkaitan pelbagai janji dan kata-kata manis sebelum dapat kuasa masih ligat diputar di media sosial dan ini tentunya memberi kesan besar di peti-peti undi nanti.
Jika ketika PRU15, PKR mampu memenangi 31 kerusi Parlimen dalam keadaan prestasinya menggunung ketika itu, sudah pasti jumlah kerusi mampu dimenangi jauh berkurangan di ketika prestasinya di tahap cukup rendah sekarang.
Isu kedua yang menghambat Anwar dan PKR daripada memperolehi kemenangan ialah faktor Rafizi.
Bermusuh dengan Rafizi ini pula adalah isu yang dicipta dengan restu oleh Anwar sendiri.
Jika Anwar tidak membenarkan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR 2025 lalu, nasib PKR pastinya tidak seperti hari ini.
Disebabkan Rafizi “dikerat” pada pemilihan 2025 lalu, selain PKR jadi berpecah sampai sekarang dan dijangka berterusan hingga PRU16 akan datang, pemegang jawatan Timbalan Presiden yang baharu turut diperkatakan oleh ahli-ahli parti sendiri seperti tidak berfungsi.
Dalam keadaan itu dan jika ia berterusan hingga PRU16 di mana hanya Anwar seorang saja jadi panglima perang, bagaimana PKR nak menang?
Daripada 31 Ahli Parlimen PKR yang ada sekarang, 10 daripadanya tetap setia bersama Rafizi dan besar kemungkinan mereka itu akan bertanding atas tiket Team Rafizi pada PRU akan datang.
Berikutan Rafizi dan kumpulannya tetap aktif bersuara dalam pelbagai isu rakyat dan sentiasa menunjukkan kebersamaan, adalah dipercayai mereka masih mampu mengekalkan kerusi Parlimen masing-masing, meskipun tidak bertanding atas tiket PKR.
Di waktu yang sama, ada maklumat mengatakan Team Rafizi bukan saja akan bertanding 10 kerusi, bahkan sehingga 25 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen yang kini dipegang PKR.
Dalam keadaan Rafizi bakal memberi cabaran kepada PKR dan PN pula mungkin memberi laluan dengan tidak meletakkan calon, tidak dinafikan bahawa potensi Team Rafizi mampu memenangi banyak kerusi Parlimen adalah cerah.
Dengan itu, jika PKR tak mampu menang, bagaimana mahu menjadikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri untuk sepenggal lagi?
Di samping itu, isu lain yang dilihat sebagai gangguan ialah Anwar sendiri masih tiada kerusi selamat untuk beliau bertanding pada PRU akan datang.
Selepas menang di Tambun pada 2022 lalu dan sebelum itu menang di Port Dickcon, Anwar kini dilaporkan mahu kembali semula ke Permatang Pauh, kawasan lamanya.
Tetapi, Permatang Pauh kini berada dalam genggaman PAS sejak parti itu memenanginya pada PRU15 lalu.
Sama ada Anwar mampu merampas Permatang Pauh atau tidak, ia masih menjadi persoalan yang tiada kepastian jawapan.
Ada juga khabar menyebut Anwar mungkin bertanding di Bandar Tun Razak, kerusi yang kini diwakili isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Berkaitan hal ini, tidak seperti bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini yang ada kawasan selamat yang kekal buat mereka bertanding, Anwar sebaliknya sentiasa dalam pelarian dan pencarian.
Hakikatnya, dua isu yang tidak boleh diabaikan bila memperkatakan tentang sama ada Anwar boleh dipanjangkan sepenggal lagi sebagai Perdana Menteri - bolehkah PKR menang dan mampukah Anwar sendiri menang sebagai Ahli Parlimen?
Bagaimana jika salah satu atau kedua-dua keadaan itu tidak menyebelahi Anwar? ShahbudinHusin 24April2026. #AnwarIbrahim





No comments: