Kerajaan negeri Sabah digesa memperhebatkan lagi usaha agar orang Sabah mendaftar ke Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kerana didapati sebilangan besar penduduk negeri itu masih belum mendaftar.
Naib Ketua Pemuda KEADILAN Sabah, Fahrid Arastam berpendapat walaupun Sabah berada di kedudukan kelapan dalam senarai negeri yang paling banyak mendaftar iaitu 323,556 setakat ini, tetapi dari segi peratusan penduduk, negeri Sabah hanya mencatatkan jumlah pendaftaran sebanyak 11.03%.
"Tidak sampai 12% rakyat Sabah mendaftar dan ini mengecewakan.
"Kami tidak mahu penduduk Sabah di pedalaman ketinggalan untuk mendapatkan vaksin ini.
"Kerajaan perlu meningkatkan usahanya untuk mengenal pasti mereka yang belum mendaftar, terutama dari daerah pedalaman dan pedalaman yang tidak memiliki akses internet.
"Kerajaan tidak boleh bergantung pada NGO atau badan lain untuk melakukan proses pendaftaran," katanya dalam kenyataan.
Fahrid juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mencari inisiatif untuk melakukan perjalanan melalui lawatan dari rumah ke rumah, terutama di lokasi terpencil.
Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), negeri dengan pendaftaran terendah selepas Sabah adalah Kelantan (17.05%), Terengganu (23.04%), Pahang (23.68%) dan Kedah (24.01%).
Putrajaya mempunyai kadar pengambilan vaksin tertinggi dengan 82.2%, diikuti Kuala Lumpur (41.02%), Selangor (40.87%), Pulau Pinang (36.45%) dan Negeri Sembilan (35.54%).