KDNK MENGUKUH, KERAJAAN USAHA TINGKAT PELABURAN ASING


 Pertumbuhan ekonomi yang diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus mencatatkan prestasi positif bagi tahun ini.

Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli (PH – Pandan) berkata, prestasi ekonomi pada ketika ini mencatatkan pertumbuhan 5.9% dan itu menunjukkan bahawa negara berada di landasan yang betul.

Oleh itu, katanya, bagi meningkatkan lagi keupayaan ekonomi negara kementeriannya dalam usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan utama serantau bagi menarik syarikat luar melabur di Malaysia.

“Kita perlu mengukuhkan kedudukan fiskal negara bagi menyakinkan pelabur-pelabur bahawa kerajaan mampu menyediakan peruntukan pelaburan yang besar dalam sektor-sektor ekonomi.

“Selain itu, memperbaiki reputasi tatakelola dan memudahkan cara perniagaan untuk mempercepatkan pertumbuhan baharu di Malaysia juga perlu dibuat bagi memastikan ekonomi negara terus meningkat,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Rafizi, langkah tersebut perlu diambil atas faktor keadaan global yang tidak menentu.

Katanya, faktor prestasi ekonomi China yang dilihat perlahan dijangka akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

“China mempunyai pengaruh mendalam dalam pelbagai aspek ekonomi Malaysia, yang juga rakan terbesar perdagangan Malaysia sejak 2009.

“Pada tahun 2022, China telah melabur sebanyak AS$3.6 bilion di Malaysia dan bila ditambah pelbagai konflik (yang melnada dunia) sudah tentu akan memberi kesan kepada prestasi ekonomi kita,” ujarnya lagi.



No comments: