ISU PERUNTUKAN BUKAN CERITA DONGENG, BEBERAPA AHLI PARLIMEN PN DIJANGKA IKUT JEJAK MP KUALA KANGSAR



Isu perlunya kepada peruntukan kewangan daripada kerajaan untuk menjaga kawasan yang menjadi penyebab Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid beralih memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bukanlah suatu cerita dongeng atau rekaan.


Ia adalah cerita benar dan sedang menjadi masalah dalam PN ketika ini.


Selain Iskandar Dzulkarnain yang berdepan kekangan kewangan untuk berkhidmat dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasannya, hasil perbualan dengan beberapa pihak dalam PN mendapati ia adalah isu yang serius dan sering diperbualkan.


Beberapa Ahli Parlimen PN dikatakan selalu berbincang sesama sendiri berkenaan kekangan kewangan dan ketiadaan peruntukan daripada kerajaan itu.


Dalam hal ini, ada yang mulai menyalahkan Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi PN kerana masih berdegil dan keras hati untuk membawa gabungan itu berbincang dengan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan yang sudah dijanjikan oleh Anwar boleh diberikan pada bila-bila masa.


Apa yang perlu dilakukan cuma datang berbincang dengan kerajaan.


Wakil kerajaan yang ditugaskan oleh Anwar untuk menyelesaikan isu ini ialah Timbalan Perdana Menteri 2, Fadillah Yusof.


Minggu lepas, Fadilah dilaporkan berkata, setakat ini hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ada datang berjumpanya untuk berbincang mengenai perkara itu.


Tiada Ahli Parlimen PN yang berbuat demikian.


Kata sebahagian Ahli Parlimen PN, tiada sebab lagi bagi Mahiaddin dan kepimpinan gabungan itu untuk terus berdegil dan keras hati daripada mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan kerana secara logiknya, sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan serta menumbangkan Anwar sudah pun menemui jalan mati sekarang ini.


Ia berikutan UMNO, GPS dan GRS telah sepakat untuk mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga tarikh PRU16 pada tahun 2027 akan datang.


Bukankah dalam keadaan ini lebih baik jika PN pergi berjumpa dengan wakil kerajaan dan semua Ahli Parlimen PN mendapat peruntukan? tanya mereka.


“Degil dan enggan berbincang dengan wakil kerajaan bagi mendapatkan peruntukan hanya menyusahkan kami sebagai Ahli Parlimen lantaran tempoh sebelum Parlimen dibubarkan ada kira-kira empat tahun lagi.


“Bagaimana kami boleh berfungsi dengan berkesan kepada rakyat selama empat tahun akan datang jika tiada peruntukan?”, kata mereka.


Dalam hal ini, berikutan langkah yang diambil oleh Iskandar Dzulkarnain mengumumkan sokongannya kepada kerajaan dan Anwar, tetapi kekal setia bersama Bersatu, tidak dinafikan ada di kalangan Ahli Parlimen PN mula melihat ia sebagai pilihan yang terbaik untuk diambil.


Menurut mereka, sebolehnya mereka masih mahu kekal bersama PN, tetapi dalam masa yang sama, mereka amat memerlukan peruntukan kewangan daripada kerajaan.


Dengan itu, jangan terkejut jika dalam waktu yang terdekat ini, terutama jika PN masih enggan berjumpa dengan Fadillah, maka ada beberapa lagi Ahli Parlimen akan mengambil langkah yang sama seperti Iskandar Dzulkarnain.


Pihak-pihak dalam PN yang dirisik bahkan memberi bayangan beberapa Ahli Parlimen gabungan itu yang dijangka mengambil langkah sama seperti Iskandar Dzulkarnain.


Tunggguuuu…..(ShahbudinHusin 15/10/2023)


https://shahbudindotcom.net/2023/10/15/isu-peruntukan-bukan-cerita-dongeng-beberapa-ahli-parlimen-pn-dijangka-ikut-langkah-mp-kuala-kangsar.html





No comments: