Tugas menteri tubuh jawatankuasa?
Kenaikan harga barang tidak memerlukan penyelesaian yang rumit sekiranya Menteri dan Timbalan Menteri boleh melakukan tugas dengan betul.
Hal itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dalam ucapan di himpunan flashmob membantah kenaikan harga barang di hadapan kompleks membeli belah Sogo, Kuala Lumpur, petang tadi.
Menurut beliau, tidak perlu anak muda mengangkat sepanduk setiap hari dan lebih buruk lagi melakukan demonstrasi besar sekiranya Menteri Kabinet bertindak dengan betul.
“Masyarakat telah jadi mangsa dan masalah sebegini (kenaikan harga) mereka rasa muak dan marah. Apakah solusi perkara ini (turun) ke jalan raya?
“Kalau semua anak muda bangkit protes di jalan raya huru hara negara kita. Kita tak nak buat begitu. Saya sebagai Ahli Parlimen akan bawa masalah ini ke Parlimen,” katanya semalam.
Prabakaran juga mengajukan pertanyaan kepada Menteri dan Timbalan Menteri yang berjumlah 70 orang apakah tugas sebenar mereka jika perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk selesaikan hal di bawah tugas kementerian.
Justeru beliau mahu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih tegas dan bertanggungjawab dan melakukan rombakan kabinet dengan menukar Menteri yang tidak boleh buat kerja kepada Menteri yang berkelayakan.
“Baru baru ini saya nampak banyak kenyataan dari kerajaan. Banyak jawatankuasa ditubuhkan, jawatankuasa sara hidup, jawatankuasa semak harga ayam, jawatankuasa subsidi dan banyak lagi
“Saya nak tanya Menteri. Kalau semua nak jawatankuasa ditubuh sebagai satu solusi, apa tugas Menteri dan Timbalan Menteri sebenarnya? Elok mereka letak jawatan saja.
“PM perlu rombak kabinet supaya ada Menteri dan Timbalan Menteri yang layak untuk mentadbir negara dan kementerian. Kalau kita dengar lagi jawatankuasa, kaji sampai bila akan ada penyelesaian.
Rakyat mahu subsidi bagi balik, itu sahaja. Ramai susah dan banyak peniagaan gulung tikar,” katanya lagi.
Prabakaran dijemput oleh gerakan anak anak wilayah untuk hadir ke flashmob itu bagi menerima memorandum membantah kenaikan harga barang yang mengandungi masalah rakyat untuk dibawa ke sidang Parlimen sesi Julai ini.