Sabahat baik Hadi tandatangani deklarasi rakyat, Pas flip flop?
Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 56 pemimpin dan bekas pemimpin BN, Pakatan Harapan, NGO dan aktivis semalam turut menyaksikan dua pemimpin Pas seperti tidak mematuhi pendirian parti mereka.
Mengejutkan apabila Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga sabahat baik Haji Hadi, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali turut hadir di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) petang semalam.
Kehadiran mereka sekaligus bercanggah dengan ketetapan Pas sebelum ini yang menolak pelawaan Mahathir untuk hadir dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri itu.
Hal ini dilihat berbeza dengan penyertaan Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa memandangkan kedua-duanya memang dianggap sebagai “harum manis” (penyokong Amanah) dalam Pas kerana kerap muncul dalam program melibatkan Pakatan Harapan.
Bahkan, Husam sebelum ini pernah cuba diheret ke lembaga disiplin parti kerana banyak membangkitkan perkara yang bercanggah dengan dasar Pas dan Islam termasuk secara terbuka mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan 3 Mac lalu mendakwa partinya mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengubah kepimpinan negara termasuk mengambil keputusan menghadap Majlis Raja-Raja.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam status di laman facebook beliau yang dikemas kini semalam mendakwa kehadiran Mustafa dan Khairuddin dalam majlis itu telah mendapat ‘kebenaran khas’ presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tindakan Abdul Hadi ini sekaligus mengenepikan ‘deklarasi khas’ Takiyuddin bahawa Lajnah Politik PAS Pusat yang bermesyuarat 3 Mac lalu mengambil keputusan tidak terlibat dalam majlis semalam.
Mustafa pula ketika ditanya pemberita menjelaskan beliau hadir atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.
Namun Khairuddin dalam reaksinya yang kemudian tersebar di media sosial berkata, “ana (saya) hanya hadir tetapi tidak sign declaration kerana mandat dari Presiden hanya untuk hadir mendengar dan menemani Cikgu Pa…”
P/S: Apa yang pasti semakin banyak flip flop dan berbelit-belit Pas menghadapi situasi politik terkini. Pas sebenarnya terperangkap dengan dendam sendiri menghadapi DAP. Di mana-mana majlis yang DAP terlibat secara rasmi mereka tidak akan masuk campur. Namun apabila keadaan itu merugikan Pas maka mereka akan cuba memperbaikinya dengan menghantar wakil.
Adakah rakyat akan mengundi parti yang tidak berjiwa besar seperti ini? Tentu sekali tidak. Pas malah akan lebih dipencilkan selepas ini.