‘Mansuh subsidi tepung, kerajaan BN tak prihatin kenaikan kos hidup’
Pemansuhan subsidi tepung gandum 25 kilogram mulai 1 Mac lalu yang sering digunakan dalam industri makanan terutama pembuatan roti canai dan kuih muih mendapat kecaman pemimpin Pakatan Harapan
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara, Datuk Seri Nizar Jamaludin berkata pemansuhan subsidi itu hanya akan menambah beban rakyat berpendapatan sederhana dan rendah mendepani kenaikan kos kehidupan. Katanya, kenaikan harga makanan itu seolah-olah tidak memberi makna kepada penurunan harga minyak petrol dan diesel yang kononnya melegakan rakyat.
“Langkah penghapusan subsidi tepung tentu akan menyebabkan harga tepung dan harga makanan naik. Adakah ini langkah yang prihatin dalam zaman kegawatan ekonomi sedunia pada masa kini?
“Walaupun harga minyak sudah turun, harga barang yang sudah naik kekal tinggi,” kata Nizar Jamaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri di Changkat Jering.
Seorang pekerja biasa bernama Chong pula berkata pemansuhan subsidi itu tidak sepatutnya berlaku ketika ekonomi negara semakin lembab. Beliau yang baru sahaja kehilangan kerjanya di sebuah kedai perabot yang gulung tikar bulan lalu amat merasai beban kenaikan kos hidup. Isterinya seorang suri rumah manakala anaknya tunggalnya masih menuntut di kolej dan memerlukan perbelanjaan besar.
“Hidup di Kuala Lumpur semakin susah akibat harga barang yang seringkali meningkat. Nasib baik saya tiada pinjaman bank. Kalau ada, matilah,” katanya yang tinggal di Setapak.
Justeru itu, dengan perkembangan yang terkini kos sara hidup, ramalan bahawa tahun 2016 ialah tahun yang susah adalah tepat sekali. Warga miskin dan kebanyakan orang yang bergaji rendah tidak mempunyai simpanan dan tidak berupaya menabung kerana menampung kos sara hidup keluarga.