PAS PATUT TANDING SENDIRI. BUKAN JADI PENGIKUT ASYIK TUMPANG ORANG SAJA.

 


INILAH MASANYA UNTUK PAS BERGERAK SOLO DAN ISYTIHAR PN DIBUBARKAN


28 December 2025


Menteri Besar Perlis yang baru sudah pun diumumkan dan telah selesai mengangkat sumpah jawatan di Istana Arau, sebentar tadi.


Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar yang baru bagi menggantikan Shukri Ramli yang sebelum ini meletak jawatan.


Yang nyata, pertukaran Menteri Besar Perlis ini tidak akan berlaku jika ia tidak dimulakan dengan gerakan menarik sokongan terhadap Shukri oleh sekumpulan lapan Adun negeri itu.


Lima Adun Bersatu telah berjaya memujuk tiga Adun Pas untuk bersama-sama menarik sokongan itu yang bermakna mereka memperolehi majoriti mudah lapan Adun daripada 15 jumlah keseluruhan Adun di negeri itu.


Di situlah permulaan kepada apa yang dinamakan pengkhianatan kepada sebuah perjuangan di Perlis itu.


Selain lima Adun Bersatu itu dianggap pengkhianat kepada Pas yang sedang mengetuai kerajaan negeri,  tiga Adun PAS yang setuju bersekongkol dalam gerakan itu juga merupakan pengkhianat kepada parti sendiri.


Memang ketika ini diakui Pas sedang bersedih, tetapi kesedihan itu bukan sangat disebabkan oleh kehilangan jawatan Menteri Besar, tetapi lebih kerana dikhianati rakan dan ahli parti sendiri.


Dalam bahasa mudah, inilah dinamakan kawan makan, menang pilihan raya pun banyak dibantu oleh jentera Pas, tetapi hilang kesetiaan semata-mata kerana jawatan.


Walaupun Menteri Besar yang baru ini tetap mewakili PN, tetapi PAS tidak harus membiarkan pengkhianatan ini berlalu begitu saja tanpa pengajaran.


Langkah awal yang harus dilakukan ialah PAS mesti  segera memutuskan hubungan dengan Bersatu, bukan saja di Perlis, tetapi juga di seluruh negara.


Itulah pengajaran terbaik untuk mereka belajar erti setiakawan.


Bubarkan sajalah PN dan lebih 

baik PAS memulakan langkah untuk bergerak solo selepas ini.


Terus berkawan dengan kawan yang khianat ialah ibarat terus membiarkan diri berada di dalam air di tepi sungai biar pun sebelah kaki baru lepas digigit buaya.


Pokoknya Bersatu terlalu perlahan dalam bertindak untuk menangani isu perlantikan Menteri Besar Perlis itu.


Jika awal-awal lagi kepimpinan Bersatu Pusat memaklumkan mereka menarik diri daripada persaingan untuk mengisi jawatan Menteri Besar, pasti apa yang berlaku sekarang tidak akan berlaku.


Tapi nasi sudah jadi bubur, yang berlalu biarkan ia berlalu dan tak guna ditangisi lagi.


Biarlah PAS selepas ini bergerak solo bersandarkan kekuatan akar umbi sedia ada yang dimiliki.


Jika tidak lama selepas ini, UMNO pula keluar daripada kerajaan dan sama-sama bersedia untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional atau MN, anggap sajalah ia rezeki yang sudah diatur Tuhan.


Yang pasti, bersatunya semula UMNO dan PAS melalui MN adalah pilihan terbaik untuk Melayu/Islam dapat memenangi PRU akan datang.


Jika itu tidak berlaku pun tidak mengapa, yang penting dengan PAS memilih bergerak solo selepas dikhianati akan menjadikan ia parti yang lebih dihormati oleh rakyat negara ini. – ShahbudinHusin 28Disember2025.


https://shahbudindotcom.net/2025/12/inilah-masanya-pas-bergerak-solo-dan-isytihar-pn-dibubarkan/



No comments: