TEMBELANG PECAH LAGI – JHO LOW DALANG DI SEBALIK SURAT DERMA RAJA ARAB, DEDAH SAKSI 1MDB

 

Bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo Ai Swan mendakwa Jho Low adalah individu di sebalik surat yang dikaitkan dengan dakwaan janji sumbangan dari kerabat diraja Arab Saudi kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Loo yang merupakan bekas pegawai 1MDB yang dekat dengan Jho Low memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang Jho Low mengarahkan mendiang Kee Kok Thiam – individu yang didakwa sebagai sekutu rapat Jho Low – untuk menyediakan salinan surat itu bagi menjelaskan sejumlah besar wang yang masuk ke akaun Najib.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah RM2.27 dana 1MDB terhadap Najib hari ini, Loo berkata dia melihat bagaimana ia berlaku ketika dia diminta Jho Low untuk menyertai mesyuarat bersamanya, Kee dan dan dua individu lain di sebuah bilik di Hotel Mayfair di London pada 2015.

Loo berkata dua individu tersebut adalah pengarah Ihsan Perdana Sdn Bhd Shamsul Anwar Sulaiman dan pengarah projek Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Dennis See.

Shamsul dan See merupakan saksi dalam kes rasuah RM42 juta SRC International, di mana Najib disabit bersalah dan menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022.

Ketika mesyuarat itu, dakwa Loo, Shamsul bertanya ada Low bagaimana untuk menyelesaikan isu aliran wang yang masuk dalam akaun Najib, didakwa daripada Putrajaya Perdana dan SRC.

Shamsul kemudian memberitahu Low yang ramai pihak bertanya kepadanya (Shamsul) berkenaan dakwaan wang itu adalah daripada 1MDB, dakwa Loo.

“Selepas itu, Low mengarahkan Kee untuk menyediakan satu surat pengesahan daripada Putera Saud untuk menyatakan wang yang masuk ke akaun Najib adalah derma daripada Arab Saudi.

“Selepas itu, saya dan Low keluar sekejap untuk bincang satu hal lain. Namun, ketika saya kembali ke bilik itu, saya lihat Kee sedang sediakan draf surat Putera Saud,” katanya lagi.

Dalam kedua-dua kes SRC dan 1MDB, Najib kekal mengatakan dia dijanjikan derma oleh Arab Saudi dan percaya wang yang masuk ke akaunnya adalah daripada kerabat diraja negara itu.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/696187

 

No comments: