Bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo
Ai Swan mendakwa Jho Low adalah individu di sebalik surat yang dikaitkan dengan
dakwaan janji sumbangan dari kerabat diraja Arab Saudi kepada bekas perdana
menteri Najib Razak.
Loo yang merupakan bekas pegawai 1MDB yang
dekat dengan Jho Low memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang Jho Low
mengarahkan mendiang Kee Kok Thiam – individu yang didakwa sebagai sekutu rapat
Jho Low – untuk menyediakan salinan surat itu bagi menjelaskan sejumlah besar
wang yang masuk ke akaun Najib.
Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan
kes rasuah RM2.27 dana 1MDB terhadap Najib hari ini, Loo berkata dia melihat
bagaimana ia berlaku ketika dia diminta Jho Low untuk menyertai mesyuarat
bersamanya, Kee dan dan dua individu lain di sebuah bilik di Hotel Mayfair di
London pada 2015.
Loo berkata dua individu tersebut adalah
pengarah Ihsan Perdana Sdn Bhd Shamsul Anwar Sulaiman dan pengarah projek
Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Dennis See.
Shamsul dan See merupakan saksi dalam kes
rasuah RM42 juta SRC International, di mana Najib disabit bersalah dan
menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022.
Ketika mesyuarat itu, dakwa Loo, Shamsul
bertanya ada Low bagaimana untuk menyelesaikan isu aliran wang yang masuk dalam
akaun Najib, didakwa daripada Putrajaya Perdana dan SRC.
Shamsul kemudian memberitahu Low yang ramai
pihak bertanya kepadanya (Shamsul) berkenaan dakwaan wang itu adalah daripada
1MDB, dakwa Loo.
“Selepas itu, Low mengarahkan Kee untuk
menyediakan satu surat pengesahan daripada Putera Saud untuk menyatakan wang
yang masuk ke akaun Najib adalah derma daripada Arab Saudi.
“Selepas itu, saya dan Low keluar sekejap
untuk bincang satu hal lain. Namun, ketika saya kembali ke bilik itu, saya
lihat Kee sedang sediakan draf surat Putera Saud,” katanya lagi.
Dalam kedua-dua kes SRC dan 1MDB, Najib kekal
mengatakan dia dijanjikan derma oleh Arab Saudi dan percaya wang yang masuk ke
akaunnya adalah daripada kerabat diraja negara itu.
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan
salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB
berjumlah RM2.27 bilion.
Sumber –
https://m.malaysiakini.com/news/696187